PEMIMPIN BERETIKA PACU PEMBANGUNAN MAMPAN, MASYARAKAT ADIL | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » PEMIMPIN BERETIKA PACU PEMBANGUNAN MAMPAN, MASYARAKAT ADIL

PEMIMPIN BERETIKA PACU PEMBANGUNAN MAMPAN, MASYARAKAT ADIL

KUCHING: Era masa kini memerlukan pemimpin beretika yang berani, telus dan berakauntabiliti untuk memacu pembangunan mampan dan membina masyarakat adil.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kepimpinan beretika mesti menjadi 'budaya biasa' sama ada dalam perkhidmatan awam, sektor swasta atau masyarakat sivil menjadi asas kepada institusi yang mampan serta kompas moral yang memandu masyarakat yang adil.

"Para pemimpin khususnya perlu menghayati nilai yang ingin kita tanamkan termasuklah mengamalkan ketelusan dan akauntabiliti dalam setiap tindakan dan keputusan.

"Salah satu langkah penting yang telah diambil oleh Sarawak ke arah ini adalah melalui pelaksanaan dasar open data serta memperkasa badan pengawasan.

"Semua pihak tanpa mengira kedudukan harus tertakluk kepada pemantauan bagi meraih kepercayaan dan membuktikan kejelasan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Integriti Antarabangsa Borneo 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Selasa.

Premier Sarawak menambah, salah satu faktor penentu kejayaan sesebuah negara ialah kepercayaan awam, dan ianya hanya dapat dibina melalui ketelusan, keterbukaan dan akauntabiliti.

Justeru Sarawak tegasnya, terus menjadi peneraju dalam aspek ini melalui penubuhan institusi kukuh seperti Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) yang melambangkan tekad institusi untuk menegakkan akauntabiliti, mencegah rasuah dan mempromosikan tadbir urus yang baik.

Ujarnya, perkhidmatan awam Sarawak mesti berteraskan rakyat dan berpaksikan nilai, di mana integriti bukan sahaja diamalkan di peringkat tertinggi, tetapi juga di setiap lapisan organisasi.

"Sarawak telah berkembang pesat dalam usaha memposisikan dirinya sebagai pusat perniagaan dan ekonomi di mana kita menjadi contoh kepada pihak luar.

"Ini jelas mencerminkan tadbir urus yang baik dan kepekaan tinggi dalam kepimpinan kerana inilah nilai yang ingin kita bentuk dalam generasi masa depan untuk membina Sarawak yang lebih baik.

"Perkembangan ini menunjukkan bahawa kita berada di landasan yang tepat menuju visi yang lebih cemerlang pada tahun-tahun mendatang," ujar beliau.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang Dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat, Timbakan Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Dato Majang Renggi, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, ketua-ketua jabatan serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS

Date of Input: 04/08/2025 | Updated: 04/08/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W, (03:58:26pm-04:03:26pm, 17 Aug 2025)   [*LIVETIMESTAMP*]