BARAM, 20 Oktober 2024 – Program ‘’ PETIPUN SEMUA ULUK' telah dianjurkan oleh Pelajar Diploma Kursus Kokurikulum Berkredit QKK2101 Bakti Siswa (Kumpulan 4), Semester Pertama Sesi Akademik 2024/2025 dari Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB). Program ini telah diadakan pada 19 hingga 20 Oktober 2024 di rumah panjang bangsa Penan, Tr. Agnes Ngarega, Long Lapok, Tinjar Baram.
Program selama dua hari ini berjaya mendapat sambutan seramai 120 orang peserta yang terdiri daripada pelajar, guru dan penduduk Long Lapok, Tinjar Baram. Program PETIPUN SEMUA ULUK merupakan inisiatif oleh pelajar UPMKB bagi membantu masyarakat di Rumah Panjang Long Lapok, Tinjar Baram dengan melaksanakan aktiviti gotong-royong. Program ini telah mengeratkan hubungan antara komuniti dan para pelajar sambil menyumbang kepada pembangunan kawasan tempatan melalui aktiviti kebajikan. Program ini juga menjadi satu platform untuk mendengar dan memahami keperluan sebenar penduduk kampung.
Selain itu,terdapat pelbagai aktiviti menarik termasuklah ceramah “Persekitaran Bersih Kesihatan Terjamin” , aktiviti sembang santai : “Pengalaman menjadi Panduan”, Pertandingan Jom Kitar Semula, dan Permainan “Teka Siapa Saya”. Program yang dijalankan sedikit sebanyak dapat meningkatkan kesedaran tentang penjagaan alam sekitar dan kebersihan persekitaran di kawasan Rumah Panjang tersebut. Tambahan pula, ia dapat menambahkan pengalaman kepada para pelajar dalam meningkatkan kemahiran praktikal, insaniah, pengurusan acara serta interaksi yang lebih efektif antara satu sama lain sekaligus dapat mengaplikasikan hasil pembelajaran yang telah dipelajari.
“Melalui program ini, penduduk Long Lapok berharap agar hubungan kami dan warga UPMKB akan berkekalan. Kami berharap agar persekitaran Long Lapok sentiasa dalam keadaan yang bersih dan ceria selepas ini,” ujar Puan Agnes Ngarega, Tuai Rumah Panjang Long Lapok. Puan Agnes juga mengharapkan pelajar di UPMKB akan mengadakan program teknik pertanian serta program Sambung Belajar dengan penduduk di Long Lapok pada masa depan.
Majlis penutupan program ini telah disempurnakan oleh Encik Mohamad Syukri Mohamad Adnan, Ketua Pentadbir Pejabat Pengurusan Pelajar, yang mewakili Pengarah Kampus Universiti Putra Malaysia, Kampus Bintulu Sarawak. Beliau juga berharap pelajar UPMKB dapat mengekalkan jalinan dan memberikan khidmat komuniti kepada masyarakat Penan pada masa depan.
Date of Input: 30/10/2024 |
Updated: 30/10/2024 | lanz
MEDIA SHARING