PROGRAM 'NANO EXPLORERS' UPMS BANTU KANAK-KANAK AUTISME TEROKAI STEM | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » PROGRAM 'NANO EXPLORERS' UPMS BANTU KANAK-KANAK AUTISME TEROKAI STEM

PROGRAM 'NANO EXPLORERS' UPMS BANTU KANAK-KANAK AUTISME TEROKAI STEM

BINTULU: Seramai 49 kanak-kanak dari Lollipop Child Care Centre di sini telah menghadiri program Nano Explorers: Big Adventures in a Tiny World anjuran Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) pada Jumaat lalu.

Program tersebut merupakan inisiatif pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang bukan sahaja memperkenalkan konsep nanoteknologi kepada kanak-kanak prasekolah, tetapi turut menekankan pendekatan inklusif yang memberi ruang penyertaan selesa kepada murid dalam spektrum autisme.

Program itu, yang turut disertai lapan guru dan 16 ibu bapa, dianjurkan oleh pelajar Sarjana Muda Sains Kimia Perindustrian sebagai sebahagian daripada kursus ECH4410 Pemprosesan Bahan Nano.

Sepanjang program, kanak-kanak mengikuti pelbagai aktiviti eksperimen seperti Ready, Set, Fizz, Water Drop Race, Magic Milk Color Explosion serta aktiviti membina struktur grafena menggunakan tanah liat dan straw.

Semua aktiviti direka bentuk dengan pendekatan sensori mesra kanak-kanak termasuk penggunaan persekitaran yang tenang, arahan visual ringkas serta peluang penyertaan bebas tekanan bagi memenuhi keperluan murid autisme. 

Program itu turut disertai lawatan ke Kandang Rusa UPMS bagi memberikan pengalaman awal yang santai sebelum eksperimen bermula. 

Menurut penyelaras program Dr. Ellie Teo Yi Lih, program ini bukan sekadar memberi pengalaman STEM pertama kepada kanak-kanak, tetapi juga bertujuan mempromosikan nilai keterangkuman dalam pendidikan sains. 

“Kami sangat mengambil kira kepelbagaian kemampuan pembelajaran murid dan pendekatan inklusif yang digunakan bertujuan memastikan setiap kanak-kanak, termasuk mereka dalam spektrum autisme, dapat meneroka dunia sains dengan selamat, seronok dan mengikut keselesaan masing-masing,” ujarnya.

Guru-guru dari Lollipop Child Care Centre dalam masa sama turut memuji pendekatan mesra autisme diamalkan, yang membantu kanak-kanak untuk lebih fokus, berani mencuba dan menikmati setiap aktiviti.

Program ini sejajar dengan usaha memperkukuh pendidikan STEM awal selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN 2021–2030) serta komitmen UPMS terhadap pendidikan komuniti yang inklusif dan holistik.

Susulan sambutan positif tersebut, UPMS merancang untuk memperluaskan inisiatif seumpama ini sebagai model program STEM inklusif di Sarawak.

 

Date of Input: 10/12/2025 | Updated: 10/12/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
-
W, (11:25:17am-11:30:17am, 03 Mar 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]