PROGRAM RESEARCH AND INNOVATION SYNERGY @ FSPH UPMS 2026 | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » PROGRAM RESEARCH AND INNOVATION SYNERGY @ FSPH UPMS 2026

PROGRAM RESEARCH AND INNOVATION SYNERGY @ FSPH UPMS 2026

Bintulu, 25 Jun – Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan (FSPH), Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) telah berjaya menganjurkan Program Research and Innovation Synergy @ FSPH UPMS 2026 bersempena Bulan Sinergi Putra 2026. Program yang berlangsung di Dewan Kuliah Pusat 2B, UPMS ini telah menghimpunkan pensyarah, staf dan pelajar bagi memperkukuh budaya penyelidikan, inovasi serta kolaborasi akademik dalam kalangan warga universiti.
 
Program Research and Innovation Synergy @ FSPH UPMS 2026 merupakan inisiatif fakulti yang bertujuan memperkasakan ekosistem penyelidikan dan inovasi melalui penyertaan aktif pensyarah, penyelidik serta pelajar prasiswazah dan pascasiswazah. Program ini menyediakan platform kepada pelajar untuk membentangkan cadangan penyelidikan baharu yang berpotensi untuk pembangunan geran penyelidikan, mewujudkan kolaborasi strategik, serta menghasilkan inovasi berimpak tinggi yang dapat dimanfaatkan oleh industri dan masyarakat.
 
Di samping itu, program ini turut menjadi wadah perkongsian kepakaran dan idea inovatif dalam kalangan warga akademik bagi menyokong pembangunan penyelidikan serta memperkukuh jaringan kerjasama di peringkat fakulti. Para penyelidik juga berpeluang membentangkan hasil penyelidikan, teknologi baharu dan penemuan terkini yang berpotensi untuk dikembangkan ke arah pengkomersialan serta penyelesaian kepada cabaran semasa yang dihadapi oleh industri dan masyarakat.
 
Selaras dengan aspirasi universiti ke arah kecemerlangan penyelidikan dan pengantarabangsaan, program ini turut memberi penekanan kepada aspek translasi penyelidikan, pengkomersialan inovasi serta peningkatan keterlihatan hasil penyelidikan di peringkat nasional dan antarabangsa. Melalui penglibatan pelbagai pihak dalam komuniti UPMS, program ini diharapkan dapat mewujudkan sinergi yang mampu meningkatkan daya saing fakulti dalam bidang penyelidikan dan inovasi.
 
Program dimulakan dengan FSPH Postgraduate Proposal Colloquium yang melibatkan empat orang pelajar pascasiswazah semester pertama yang mengikuti kursus Seminar Proposal. Seterusnya, program diteruskan dengan Final Year Project Proposal Seminar yang disertai oleh pelajar prasiswazah Ijazah Sarjana Muda daripada program Bacelor Sains Bioindustri, FSPH. Program kemudian diakhiri dengan Postgraduate Research Progress Colloquium yang menampilkan pembentangan daripada tujuh orang pelajar pascasiswazah terpilih.
 
Selain sesi pembentangan, pelbagai pameran inovasi turut diadakan bagi mempamerkan hasil penyelidikan warga FSPH. Pameran tersebut menampilkan hasil penyelidikan dalam tiga bentuk utama, iaitu poster, video dan produk inovasi yang dihasilkan oleh penyelidik Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, UPMS.
 
Majlis diakhiri dengan ucapan penutupan dan amanat yang disampaikan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Juriah Binti Kamaludeen, Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pendanaan dan Siswazah), Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, yang mewakili Dekan FSPH. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua peserta dan jawatankuasa penganjur atas komitmen yang diberikan serta berharap program seumpama ini dapat diteruskan sebagai platform untuk memperkukuh budaya penyelidikan, inovasi dan kecemerlangan akademik di FSPH, sekali gus menyokong aspirasi UPMS sebagai institusi yang unggul dalam penyelidikan dan inovasi.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 01/07/2026 | Updated: 01/07/2026 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (01:08:55pm-01:13:55pm, 10 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]