SARAWAK PERKASA AGENDA INTERGRITI SERANTAU MENERUSI BIIS 2025 | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » SARAWAK PERKASA AGENDA INTERGRITI SERANTAU MENERUSI BIIS 2025

SARAWAK PERKASA AGENDA INTERGRITI SERANTAU MENERUSI BIIS 2025

KUCHING, 28 April 2025 — Satu sesi taklimat ringkas berkenaan penganjuran Borneo International Integrity Summit (BIIS) 2025, yang dijadualkan berlangsung pada 29 hingga 30 Julai 2025 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak, telah diadakan bersama Unit Integriti dan Ombudsman Negeri Sarawak (UNIONS), Jabatan Premier Sarawak dan Business Events Sarawak (BE Sarawak).

Taklimat ini turut dihadiri oleh YB Dato' Murshid DiRaja Dr. Juanda Jaya, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman). Dalam sesi tersebut, pembentangan disampaikan mengenai konsep BIIS yang bertemakan Driving Innovation, Transparency and Ethical Leadership fo Sustainable Future sebagai platform serantau yang bertujuan memperkasa budaya integriti, serta mempererat kerjasama rentas negara di rantau Borneo, dengan sasaran penyertaan seramai 700 orang dari Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan Filipina.
 
Perbincangan turut menekankan peranan strategik UNIONS dan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) dalam aspek penyelarasan penganjuran, di samping sokongan BE Sarawak dalam pengurusan acara bertaraf antarabangsa. Dalam ucapannya, YB Timbalan Menteri menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran BIIS sebagai teras kepada bentuk kerjasama dan tadbir urus.
 
"Platform seperti BIIS membuka peluang untuk memperkukuhkan kerjasama serantau dalam membina hubungan dalam masyarakat yang beretika dan berintegriti," ujar beliau. Penglibatan agensi kerajaan dan sektor pendidikan dalam persidangan turut dibincangkan bertujuan memperkayakan perbincangan serta memperkukuhkan komitmen bersama terhadap agenda integriti serantau.
 
Penganjuran BIIS 2025 dijangka menjadi platform penting dalam memperkukuhkan reputasi Sarawak sebagai peneraju budaya integriti dan tadbir urus cemerlang di peringkat serantau.
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 02/05/2025 | Updated: 02/05/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/6:21:14:14~noCache