SCAT FAIR 2025 PERKUKUH EKOSISTEM MODAL INSAN SARAWAK | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » SCAT FAIR 2025 PERKUKUH EKOSISTEM MODAL INSAN SARAWAK

SCAT FAIR 2025 PERKUKUH EKOSISTEM MODAL INSAN SARAWAK

Karnival Kerjaya dan Latihan Sarawak (SCaT Fair 2025) yang berlangsung pada 5 dan 6 Julai 2025 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) terus membuktikan keberkesanannya sebagai platform pembangunan modal insan apabila mencatatkan kehadiran lebih 35,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjuran.
 
Dengan tema “Enhancing Employability”, SCaT Fair 2025 memberi tumpuan kepada usaha memperkasa kebolehpasaran belia dan graduan melalui penyediaan akses kepada pelbagai peluang pendidikan, latihan kemahiran, pekerjaan serta bantuan berkaitan pembangunan kerjaya.
 
Penganjuran kali ini telah dirasmikan oleh YB Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, yang hadir mewakili Yang Amat Berhormat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
 
SCaT Fair bukan sahaja menghimpunkan agensi-agensi kerajaan dan institusi pendidikan tinggi, malah turut melibatkan majikan dari pelbagai sektor industri, penyedia latihan teknikal dan vokasional (TVET), serta institusi kewangan.
 
Lebih 100 organisasi mengambil bahagian dalam usaha menyampaikan maklumat, membuka peluang temu duga terbuka, serta menyediakan ruang interaksi secara langsung antara penyedia dan pencari peluang kerjaya serta pendidikan.
Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) turut menyertai karnival ini untuk mempromosikan pelbagai program akademik dan laluan pengajian.
 
Penyertaan UPMS diketuai oleh Puan Rosidah Binti Basir, Penolong Pendaftar Kanan, Pejabat Pengurusan Akademik dan Penyelidikan, bersama Dr. Wan Zabidii Wan Morni, Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan.
 
Delegasi UPMS mengambil peluang untuk mempromosikan program pengajian yang ditawarkan di UPMS, termasuk bidang pertanian, perikanan, perhutanan, serta sains sosial dan pengurusan. Turut dikongsikan ialah maklumat mengenai laluan kemasukan, kemudahan pelajar, peluang biasiswa serta prospek kerjaya kepada para pengunjung khususnya pelajar lepasan SPM dan STPM.
 
Menurut pihak penganjur, penganjuran SCaT Fair secara konsisten sejak 2013 adalah antara inisiatif kerajaan negeri dalam memperkukuh ekosistem pembangunan modal insan Sarawak secara holistik. Kerjasama erat antara institusi pendidikan, agensi pembangunan sumber manusia dan sektor industri diyakini mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan masa kini.
 
Penganjuran SCaT Fair 2025 telah mencerminkan kesungguhan Kerajaan Sarawak dalam mendepani isu kebolehpasaran belia melalui pendekatan inklusif dan strategik yang menggabungkan aspirasi pendidikan dan keperluan industri.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 10/07/2025 | Updated: 10/07/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W, ~noCache [*LIVETIMESTAMP*]