SERAMAI 24 PESERTA SERTAI KURSUS PENGURUSAN PENTERNAKAN AYAM | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » SERAMAI 24 PESERTA SERTAI KURSUS PENGURUSAN PENTERNAKAN AYAM

SERAMAI 24 PESERTA SERTAI KURSUS PENGURUSAN PENTERNAKAN AYAM

BINTULU: Seramai 24 peserta dari beberapa bahagian Sarawak menyertai Kursus Pengurusan Penternakan Ayam (Kumpulan 2) di Pejabat Pusat Pertanian Putra Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (PPP UPMKB) Sabtu lalu.

Kursus anjuran Pusat Pertanian Putra UPMKB itu diadakan untuk kali kedua tahun ini mendapat sambutan menggalakkan susulan penganjuran kursus sama pada 27 April lalu.

Peserta dari latar belakang berbeza itu adalah dari Bintulu, Kuching, Sibu, Belaga, Sri Aman, Lawas, Limbang, Mukah, Dalat dan Bario. 

Pegawai Pertanian Kanan PPP UPMKB merangkap penyelaras dan penceramah kursus, Ts Dr Carlina Freddie Simol@ Rachellynna berkata kursus itu memberi pendedahan kepada peserta yang ingin menternak ayam dari segi keperluan umum, penyediaan reban, pengurusan dan penyelenggaraan harian sehingga penuaian. 

Katanya, turut dikongsikan pengetahuan tentang pengurusan kesihatan ayam, penyediaan dan penghasilan makanan untuk ayam serta penyelesaian kepada masalah yang sering dihadapi penternak. 

"Peserta turut diberi tunjuk ajar melalui sesi amali pemilihan telur untuk penetasan, pemotongan paruh ayam serta cara-cara pemberian vaksin kepada ternakan ayam," katanya. 

Beliau berkata, sesi amali dibantu oleh staf PPP UPMKB Jega Jantai dan Yusri Drahman.

Sementara itu, Timbalan Pengarah PPP UPMKB Profesor Madya Dr Amy Halimah Rajaee berkata kursus tersebut dijalankan selaras dengan keperluan peningkatan ilmu memperkasa bidang pertanian sebagai salah satu inisiatif dalam menghadapi isu krisis sekuriti makanan negara. 

Katanya, inisiatif itu selari dengan jenama Putra iaitu 'Pertanian Untuk Rakyat' dan motto UPM 'Berilmu Berbakti' serta menyahut seruan naib canselor UPM untuk merakyatkan pertanian. 

Date of Input: 29/05/2024 | Updated: 29/05/2024 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/4:12:28:33~noCache