SMK BANDAR BINTULU, UPMKB PERGIAT PUPUK MINAT PELAJAR TERHADAP STEM | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » SMK BANDAR BINTULU, UPMKB PERGIAT PUPUK MINAT PELAJAR TERHADAP STEM

SMK BANDAR BINTULU, UPMKB PERGIAT PUPUK MINAT PELAJAR TERHADAP STEM

BINTULU: Kelab Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Bintulu dengan kerjasama Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) mempergiatkan usaha untuk memupuk minat pelajar terhadap bidang STEM dengan menganjurkan pameran dan ceramah kerjaya baru-baru ini.

Program disertai 120 pelajar Tingkatan Empat dan Lima sekolah itu juga bertujuan meningkatkan pengetahuan pelajar dalam bidnag STEM. 

Ketua Projeknya, ChM Dr Sivasangar Seenivasagam berkata, program ini adalah inisiatif untuk memastikan minat pelajar terhadap STEM terus meningkat sekali gus memberikan pendedahan berkenaan program-program yang ditawarkan di UPMKB.

Katanya, pihaknya juga membuka peluang kepada para pelajar untuk memahami cabaran dan peluang yang ada terutamanya dalam bidang kimia.

Terdahulu program sehari itu merangkumi pameran eksperimen kimia seperti pembuatan nilon 66, pengesterifikasian dan pembakaran bahan alkena, sesi soal jawab bersama pelajar untuk memahami konsep kimia asas dan penjelasan berkaitan daripada para pensyarah kimia.

Ceramah kerjaya pula bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai laluan kerjaya yang boleh diambil selepas tamat persekolahan.

Ceramah ini memberikan pelajar pandangan yang lebih jelas tentang pilihan pengajian dan kerjaya dalam bidang STEM serta membantu mereka merancang masa depan dengan lebih terarah.

Sementara itu, Pengetua SMK Bandar Rubiah Taip berkata, program itu diharap dapat diteruskan pada masa akan datang dengan UPMKB akan memberikan sokongan. 

“Kami berharap program seperti ini dapat membuka minda pelajar tentang peluang yang ada dan memberikan mereka motivasi untuk mencapai cita-cita,” ujarnya.

Yang hadir Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains UPMKB Dr Juniza Md Saad, Ketua Bidang Sains dan Matematik SMK Bandar Sharifah Salamiah Wan Ibrahim, Penasihat Kelab STEM A.Vignisvary Arumugam, Dr Ellie Teo Yi Lih dan Dr Alvin Lim Teik Zheng dari Jabatan Sains dan Teknologi UPMKB serta Dr Sharon Ong dari Jabatan Sains Sosial dan Pengurusan UPMKB.

Date of Input: 19/07/2024 | Updated: 19/07/2024 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/4:14:11:07~noCache