BINTULU: Transformasi sektor pertanian dengan teknologi moden mampu menjadikan Sarawak pengeluar utama makanan termasuk sebagai Jelapang Padi Malaysia.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak amat menekankan kepada ekonomi digital dengan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi penyelesaian masalah dan pengeluaran makanan.
Menurutnya, Pusat Kecerdasan Buatan Sarawak (SAIC) juga telah ditubuhkan di negeri ini untuk keperluan semua sektor termasuk pertanian supaya tanah terbiar di negeri ini dapat mengeluarkan hasil.
Beliau merujuk kepada 800 hektar tanah di Kuala Rajang yang dimajukan dengan tanaman padi melalui penyelidikan dan penggunaan baja sesuai kini telah berubah menjadi jelapang padi.
"Ada tanah, ada teknologi kita tidak perlu import. Belum lagi tempat-tempat lain yang ada di negeri ini, namun memerlukan sistem pengairan untuk menambah baik tanah yang ada, sekali gus sebanyak RM1 bilion dilaburkan kerajaan untuk tujuan itu," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sarawak AgroFest 2025 bertemakan 'Industrialising Agro Sector Through Smart Technology' yang berlangsung dari 22 hingga 31 Ogos di Lasar Kenyalang Bintulu hari ini.
Abang Johari berkata, penggunaan jentera dan mesin bagi pengeluaran beras turut memudahkan kerja, terutamanya di Gedong yang telah berjaya mengeluarkan hasil daripada 1.2 metrik tan pada satu musim kepada lapan metrik tan setahun.
"Dalam 24 bulan (ada) lima musim, bermakna pendapatan isi rumah daripada satu metrik tan kepada lapan metrik tan meningkat lapan kali ganda," jelasnya.
Begitu juga dengan produk hiliran untuk industri kelapa sawit katanya, Sarawak kini menjadi pengeluar terbesar industri sawit memintas Sabah dengan pengeluaran produk biomas boleh diproses untuk makanan haiwan ternakan mengurangkan import, manakala biogasnya untuk bahan api penerbangan mampan (SAF) pesawat.
Tambahnya, pertukaran nama kepada Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), pemilikan syarikat penerbangan sendiri dan penggunaan teknologi semuanya akan meningkatkan pengeluaran dan memudahkan eksport makanan dari negeri ini, sekali gus memperlihatkan masa depan cerah Sarawak.
"Ia adalah ekonomi kitaran dengan semua hasil pertanian boleh digunakan untuk menambah nilai ekonomi negeri," katanya sambil menambah, hasil kerajaan yang sebelum ini RM6 bilion dan kini meningkat kepada RM14 bilion setahun akan diberi balik kepada rakyat melalui pendidikan percuma.
Dalam semangat untuk mentransformasikan Sarawak katanya, ini bukan mimpi Mat Jenin, sebaliknya rakyat memang wajar diberi pendidikan percuma di universiti milik Kerajaan Sarawak bermula tahun depan.
"Ini masa depan Sarawak dengan dasar jelas, kaedah jelas, cara jelas, mahu tidak mahu sahaja. Selagi Gabungan Parti Sarawak (GPS) memerintah, kita akan melaksanakan semua dasar untuk kepentingan rakyat," katanya.
Abang Johari berkata, kekuatan dan kestabilan negeri ini mampu menjadi contoh melalui idea baharu dan ekonominya lebih mantap akan memberi manfaat kepada rakyat.
Hadir sama pada majlis itu ialah anakandanya Dayang Norjihan, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai.
Turut hadir, Timbalan Menteri M-FICORD Datuk Martin Ben dan Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Setiausaha Tetap M-FICORD Datu Sirai Daha, Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) Tan Sri William Mawan Ikom, Residen Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti dan Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak Dominic Chunggat.
Date of Input: 25/08/2025 | Updated: 25/08/2025 | lanz
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia