TRANSFORMASI UPMS: LANGKAH BERANI MENUJU MASA DEPAN GEMILANG | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » TRANSFORMASI UPMS: LANGKAH BERANI MENUJU MASA DEPAN GEMILANG

TRANSFORMASI UPMS: LANGKAH BERANI MENUJU MASA DEPAN GEMILANG

BINTULU, 15 Julai 2025 – Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) kini melakar sejarah baharu dalam landskap pendidikan tinggi negara apabila menerima kemasukan seramai 391 orang pelajar baharu bagi Program Diploma dan Persediaan Diploma Sains Semester Pertama Sesi Akademik 2025/2026.
 
Pengarah UPMS, YBhg. Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, dalam ucapan alu-aluannya mengucapkan tahniah dan selamat datang kepada para pelajar yang telah memilih UPMS sebagai destinasi ilmu mereka. Beliau turut menzahirkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan oleh para ibu bapa dan penjaga terhadap UPMS.
 
Beliau memaklumkan bahawa penjenamaan semula kampus UPM di Bintulu kepada Universiti Putra Malaysia Sarawak telah diisytiharkan secara rasmi oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 30 Jun 2025 dalam satu majlis penuh bersejarah di Istana Alam Shah, Klang.
 
Penjenamaan semula ini menandakan permulaan era baharu yang lebih dinamik dan strategik bagi universiti, sekali gus mencerminkan iltizam UPMS untuk menjadi peneraju dalam bidang pertanian, perhutanan dan keterjaminan makanan, bukan sahaja di Malaysia Timur, malah di peringkat serantau dan antarabangsa.
 
“Penjenamaan ini bukan sekadar penukaran nama, tetapi lambang kepada aspirasi baharu. UPMS kini bersedia untuk mengorak langkah sebagai pusat kecemerlangan ilmu dan pembangunan modal insan yang berimpak tinggi di rantau Borneo dan dunia,” tegas Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini.
 
Beliau turut menyeru para pelajar agar memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada dengan sikap komited dan tekad yang tinggi dalam pengajian.
 
“UPMS bukan sekadar tempat menuntut ilmu, tetapi medan untuk melahirkan pemimpin masa depan. Bawa nama universiti ini ke persada antarabangsa dan pulang sebagai agen perubahan kepada bangsa dan negara,” ujar beliau dengan penuh inspirasi.
 
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran barisan Pengurusan Tertinggi UPMS dan berlangsung dalam suasana yang harmoni, penuh semangat dan aspirasi, menggambarkan komitmen seluruh warga universiti dalam mendokong transformasi UPMS sebagai institusi pendidikan unggul di Malaysia Timur.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 17/07/2025 | Updated: 17/07/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W, ~noCache [*LIVETIMESTAMP*]