Perasmian Program Penyerahan Projek Bioponik 3T Melahirkan Generasi Berilmu Melalui Pendidikan Sains dan Agroteknologi
Bintulu, 22 November 2025 – Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) hari ini mengadakan Program Penyerahan Projek Bioponik 3T kepada Institut Tahfiz Bintulu (ITB), satu inisiatif pendidikan komuniti yang menggabungkan teknologi ternakan, tanaman dan tangkapan (3T) dalam usaha memperkasa keterjaminan makanan dan meningkatkan literasi sains dalam kalangan pelajar tahfiz.
Program ini diketuai oleh Dr. Masnindah Malahubban, bersama pasukan penyelidik Prof. Madya Dr. Zakry Fitri Ab Aziz, Dr. Nora Faten Afifah Mohamad, Dr. Muhamad Hakim Mohd Ali Hanafiah, dan Dr. Nursyuhaida Md Shahid, dengan sokongan pasukan akademik UPMS lain seperti Ts. Dr. Faridah Abdul Razak, Ts. Dr. Suhaili Mustafa, Ts. ChM. Dr. Azrul Nurfaiz Mohd Faizal dan sokongan staf pelaksana seperti En. Mohamad Ezwandi Mahrit, En. Muhammad Hafiy Yusoff, Cik Aqeelah Azhar dan En. Nicholas Manggie.
Turut menyokong penuh pelaksanaan program ini ialah Pengarah UPMS, Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, serta Dekan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan (FSPH), Prof. Madya Dr. Noorasmah Saupi.
Program ini dilaksanakan melalui dua komponen utama:
1. Pembelajaran Sains Berasaskan Pengalaman (Experiential Learning Classroom)
Sejak Julai lalu, seramai 71 pelajar ITB telah mengikuti sesi pembelajaran sains di makmal UPMS meliputi biologi asas, nutrisi, mikroorganisma, teknologi pengeluaran makanan dan aplikasi sistem bioponik. Sesi ini dianjurkan sebagai sebahagian daripada Program Pendayaan Komuniti @UniMADANI, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).
Melalui kerjasama Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan (JSHP) serta Jabatan Sains Tanaman (JST), pelajar diberi pendedahan kepada eksperimen sebenar, penggunaan peralatan makmal moden serta konsep biologi, kimia dan pengeluaran makanan asas.
Pendekatan ini membolehkan pelajar tahfiz merasai suasana pembelajaran sains yang lebih menyeluruh.
Selain pendedahan kepada eksperimen makmal, program ini turut melaksanakan komponen Train-the-Trainer (TOT) kepada para guru ITB. Melalui sesi ini, pensyarah UPMS melatih guru dalam aspek pemantauan kualiti air akuakultur, penyediaan tangki, pengurusan sistem bioponik, serta penjagaan ternakan puyuh.
Pendekatan TOT ini memastikan berlakunya pemindahan ilmu (knowledge transfer) secara berstruktur, membolehkan guru meneruskan sesi amali sains dan mengajar pelajar ITB menggunakan kemahiran yang telah dipelajari. Inisiatif ini juga memastikan projek Bioponik 3T dapat dijalankan secara mampan di peringkat komuniti sekolah.
2. Pembinaan Projek Bioponik 3T di Institut Tahfiz Bintulu
Kerjasama Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan (JSHP) serta Jabatan Sains Tanaman (JST) menghasilkan satu sistem bioponik lengkap yang merangkumi: 1) Ternakan puyuh bagi sumber protein dan penghasilan baja organik; 2) Tanaman sayur (Pakchoy) melalui sistem bioponik berasaskan nutrien kitar semula; dan 3) Akuakultur tilapia yang berfungsi menyalurkan sisa nutrien kepada tanaman. Projek ini dibangunkan dari peringkat reka bentuk, pemasangan, pengujian sistem, latihan operasi, sehinggalah penyerahan rasmi kepada pihak ITB pada majlis perasmian ini yang diwakili oleh Pengerusi ITB, Haji Mohamad Yacop Mohamad Junit dan Mudir ITB, Ustaz Husin Zaenal Arifin Ridwan.
Bioponik 3T: Menyemai Ilmu, Memperkasa Komuniti
Inisiatif ini sejajar dengan usaha negara dalam memperkukuh keterjaminan makanan, meningkatkan kesedaran sains serta memupuk minat terhadap STEM dalam kalangan pelajar tahfiz. Pendekatan Learning by Doing yang diterapkan dalam program ini memberi peluang kepada pelajar untuk belajar melalui pengalaman sebenar, sekali gus mengukuhkan pemahaman mereka terhadap konsep agroteknologi.
Selain itu, inisiatif ini turut menghubungkan universiti dengan masyarakat setempat melalui projek berimpak tinggi. Melalui gabungan ilmu, teknologi dan pendidikan komuniti, Bioponik 3T diharapkan menjadi model rujukan bagi institusi lain yang ingin menerapkan projek agroteknologi yang praktikal, mampan dan mendidik.
Date of Input: 27/11/2025 |
Updated: 27/11/2025 | lanz
MEDIA SHARING