UPM PERHEBAT KERJASAMA DENGAN PIHAK INDUSTRI, KOMUNITI UNTUK PERKASA KEBOLEHPASARAN GRADUAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » UPM PERHEBAT KERJASAMA DENGAN PIHAK INDUSTRI, KOMUNITI UNTUK PERKASA KEBOLEHPASARAN GRADUAN

UPM PERHEBAT KERJASAMA DENGAN PIHAK INDUSTRI, KOMUNITI UNTUK PERKASA KEBOLEHPASARAN GRADUAN

BINTULU: Universiti Putra Malaysia (UPM) akan terus memberi tumpuan untuk memperkasakan kebolehpasaran graduan melalui program akademik yang relevan dengan keperluan industri.

Naib Canselornya Datuk Profesor Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, atas dasar itu pihaknya akan memperhebat kerjasama dengan pihak industri dan komuniti.

Katanya, kepentingan nilai integriti, kecemerlangan dan kepimpinan dalam kalangan warga universiti turut ditekankan bagi memastikan UPM terus unggul dan dihormati.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Naib Canselor UPM 2025 bertemakan Menjulang Kesohoran, Memaknai ‘True North’ UPM di Dewan Sri Kenyalang UPM Kampus Bintulu Sarawak pada Khamis lalu.

‘True North’ UPM menekankan hala tuju universiti dalam memperkasa kecemerlangan akademik, penyelidikan, inovasi dan sumbangan kepada masyarakat.

Ahmad Farhan berkata, amat penting memperkukuh kedudukan UPM sebagai institusi pendidikan tinggi yang berdaya saing di peringkat global dengan menggariskan lima strategi utama UPM 2025.

Ujarnya, ia melibatkan impak masa depan melalui rangka kerja strategik ‘True North’ UPM; bakat berimpak, berkeupayaan tinggi dan berisiko rendah untuk peningkatan produktiviti; pendekatan agresif melalui kelestarian kewangan bagi hasil lebih baik; pelaksanaan program khusus berimpak tinggi; serta mempertingkatkan kedudukan dan reputasi UPM.

Dalam pada itu, UPMKB dalam kenyataannya berkata, perutusan itu mendapat sambutan baik daripada warga UPM dan UPMKB yang hadir bagi mendapatkan pencerahan mengenai hala tuju universiti tahun ini.

Dengan semangat ‘True North’ UPM katanya, universiti itu bertekad untuk terus menjulang kesohoran dalam semua bidang demi manfaat negara dan masyarakat sejagat.

Majlis turut menyaksikan penyerahan Dana Wakaf Projek Pemerkasaan Pembangunan Infrastruktur Masjid dan Pusat Islam UPMKB, penyampaian sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di UPMKB, Bantuan Zakat Persekolahan Anak Staf UPM serta Bantu Sara Diri, Yuran Pengajian, Latihan Industri dan Program Pelajar UPM.

Date of Input: 17/02/2025 | Updated: 17/02/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/5:1:27:45~noCache