UPM SARAWAK BAKAL TERAJUI PENDIDIKAN VETERINAR | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » UPM SARAWAK BAKAL TERAJUI PENDIDIKAN VETERINAR

UPM SARAWAK BAKAL TERAJUI PENDIDIKAN VETERINAR

BINTULU, 23 Ogos: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj berkenan agar Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu menubuhkan kursus khas dalam bidang veterinar yang bakal menjadi pusat pengajian terbesar seumpamanya di Malaysia.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penubuhan fakulti itu penting untuk melahirkan lebih ramai tenaga pakar perubatan haiwan bagi menyokong potensi besar negeri dalam sektor pertanian dan penternakan.

“Memang benar Sultan Selangor telah memberi perkenan selepas melihat potensi besar Sarawak dalam bidang ini. Baginda memperkenankan penubuhan sekolah khas di Bintulu yang akan menjadi yang terbesar di Malaysia,” katanya ketika merasmikan Sarawak Agrofest 2025 di Lapangan Terbang Lama Bintulu, hari ini.

Abang Johari berkata, Sarawak kini berdepan kekurangan doktor veterinar dan pakar haiwan sedangkan industri ternakan negeri semakin pesat berkembang.

“Kita tubuhkan universiti khas dalam bidang veterinar di Bintulu kerana kita kurang doktor haiwan dan pakar-pakar dalam bidang ini. Jabatan Veterinar sendiri tidak cukup doktor. Inilah ruang besar untuk kita bangunkan sektor ternakan,” ujarnya.

Selain bidang veterinar katanya, Sarawak juga berpotensi menjadi pengeluar utama padi negara.

“Malah, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengakui Sarawak mampu mengatasi Kedah sebagai jelapang padi Malaysia. Kita ada dasar dan kaedah yang jelas. GPS akan melaksanakannya demi kepentingan rakyat,” jelasnya.

Abang Johari turut mengulangi komitmen Kerajaan Sarawak menyediakan pendidikan percuma di peringkat universiti mulai 2026, sebagai usaha melahirkan masyarakat berilmu.

“Kita beri pendidikan percuma di universiti Sarawak mulai 2026. Negeri lain belum laksana, tapi kita dah mula kerana kita mahu rakyat Sarawak berilmu,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, Sarawak berjaya menghasilkan produk seperti ikan tilapia dan ayam pedaging, dan kini merancang memperluaskan eksport makanan ke Singapura serta pasaran antarabangsa.

Pada majlis sama, beliau turut melancarkan logo ‘Sarawak Veterinary Registered’ selain menyampaikan pelbagai anugerah termasuk Usahawan Jaya Tanaman Makanan, Usahawan Jaya Industri Asas Tani, Usahawan Jaya Perikanan Darat, Pertubuhan Peladang Kawasan Jaya, Penternak Jaya dan Ikon Agropreneur Sarawak.

Turut hadir Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Tiong King Sing serta Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah yang juga Menteri Bertanggungjawab Sarawak Agrofest 2025, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.-TVS

Date of Input: 25/08/2025 | Updated: 25/08/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W, (02:14:45am-02:19:45am, 26 Aug 2025)   [*LIVETIMESTAMP*]