Pengalaman mengajar di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) membuka dimensi baharu dalam kerjaya akademik Dr. Bura Paul Thlama dari Nigeria. Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan itu bukan sahaja memperkukuh kepakaran dalam sains haiwan tropika, tetapi turut menyelami keunikan budaya masyarakat berbilang etnik di Sarawak yang hidup harmoni. Beliau mengakui keindahan budaya dan nilai toleransi masyarakat setempat menjadi inspirasi dalam membentuk pendekatan pengajaran berteraskan kemanusiaan dan kepelbagaian.
Menyesuaikan diri di persekitaran baharu tidak mudah, namun sokongan warga kampus dan pelajar banyak membantu beliau mengatasi cabaran dari segi cuaca, bahasa dan budaya tempatan. Dr. Bura Paul menjadikan UPM sebagai platform untuk memperkasa pengajaran berasaskan komuniti serta penyelidikan yang memberi impak kepada masyarakat. Melalui Program Service Learning Malaysia (SULAM), beliau menggabungkan amalan veterinar dengan elemen epidemiologi lapangan, biosekuriti dan pengurusan kesihatan kawanan bagi manfaat petani dan penternak tempatan.
Kini berkhidmat di Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan, beliau turut memberikan khidmat teknikal kepada penternak kecil di Bintulu serta menjalankan penyelidikan berkaitan kesihatan dan kawalan penyakit ruminan di persekitaran tropika. Penerima Anugerah Tesis PhD Terbaik UPM ini berhasrat untuk terus menyumbang kepada kemajuan bidang kesihatan haiwan dan pengeluaran ternakan lestari di Malaysia Timur, sekaligus memperkukuh peranan UPM Sarawak sebagai universiti pertanian terunggul di rantau Borneo.
Date of Input: 05/11/2025 |
Updated: 05/11/2025 | lanz
MEDIA SHARING