Riang-riang atau cicada bukan sekadar “suara alam” di hutan tropika, sebaliknya berperanan penting sebagai penanda aras kesihatan ekosistem. Serangga ini mudah dikenal pasti melalui bunyi nyaring yang dihasilkan jantan, dan setiap spesies mempunyai irama tersendiri yang digunakan penyelidik untuk menilai keseimbangan ekologi hutan. Malaysia mempunyai lebih 150 spesies cicada, termasuk yang endemik seperti Megapomponia merula dan Minilomia triquetra di Borneo.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Perhutanan, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), Dr. Ameyra Aman Zuki, menjelaskan bahawa pendekatan sistematik molekul membantu penyelidik mengenal pasti serta mengelaskan spesies dengan lebih tepat melalui analisis DNA. Kaedah ini memperkukuh sistem taksonomi dan membolehkan hubungan evolusi serta corak biodiversiti difahami dengan lebih mendalam. Di UPMS, usaha membina pangkalan data DNA tempatan giat dijalankan bagi tujuan pengecaman spesies dan pemuliharaan biodiversiti.
Selain itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Ts. Dr. Franklin Ragai Kundat, menyatakan bahawa cicada bukan perosak tanaman, sebaliknya membantu kesuburan tanah dan keseimbangan ekosistem. Aktiviti mereka mengudara tanah, mengembalikan nutrien selepas mati dan merangsang pertumbuhan dahan baharu pada pokok. Dengan kitaran hidup yang panjang dan kemunculan serentak dalam jumlah besar, cicada turut berpotensi dijadikan model kajian biologi evolusi, perubahan iklim serta pembangunan pelancongan entomologi.
Date of Input: 05/11/2025 |
Updated: 05/11/2025 | lanz
MEDIA SHARING