Bintulu – Seramai 30 orang Guru Tabika Perpaduan Bahagian Bintulu telah menyertai Webinar Pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) untuk Guru Tabika Perpaduan pada Sabtu lalu.
Webinar yang memfokuskan pengenalan STEM dalam pendidikan awal kanak-kanak ini adalah anjuran Jabatan Sains dan Teknologi, UPMKB dengan kerjasama kelab MSAE-SC UPM Bintulu.
Penganjuran webinar ini adalah bertujuan untuk berkongsi ilmu pengetahuan kepada guru mengenai strategi yang efektif dalam memperkenalkan konsep STEM kepada murid tabika. Panel-panel penceramah untuk program ini adalah yang terdiri daripada Dr. Ellie Teo Yi Lih, Pensyarah Kanan Jabatan Sains dan Teknologi (JSTek), Puan Mas Amelia Mas Abdul Rahman, Pengarah Program, STEM Academy & MTTC College dan Ir. Dr. Mas Sahidayana, Pengarah Pusat STEM UM.
Sesi webinar ini bermula dengan pengenalan tentang STEM dan menekankan kepentingannya untuk perkembangan kognitif kanak-kanak dan pembelajaran masa depan. Kemudian, panel penceramah memberikan pelbagai aktiviti mudah dan menyeronokkan yang boleh diaplikasikan dengan mudah ke dalam kurikulum tabika.
Selain itu, aspek penting yang dibincangkan adalah peranan ibu bapa dalam menyokong pendidikan STEM. Panel penceramah mencadangkan cara untuk melibatkan ibu bapa dan menggalakkan mereka meneroka aktiviti STEM di rumah untuk menguatkan apa yang dipelajari anak-anak di sekolah dan menjadikan STEM sebagai pembelajaran berterusan.
Panel penceramah menekankan bahawa pentingnya untuk memperkenalkan STEM pada usia muda bagi membantu meningkatkan rasa ingin tahu, pemikiran kritis, dan kemahiran menyelesaikan masalah. "Apabila kanak-kanak terlibat dalam aktiviti STEM yang praktikal, mereka belajar untuk bertanya soalan, bereksperimen, dan berfikir secara kreatif", kata Ir. Dr Mas Sahidayana, salah seorang panel penceramah.
Para peserta memberikan maklum balas yang sangat positif mengenai webinar STEM yang diadakan. "Saya berasa lebih yakin untuk mengintegrasikan STEM ke dalam bilik darjah saya. Idea-idea yang dikongsi hari ini bukan sahaja memberi inspirasi tetapi juga sangat mudah dilakukan," kata seorang peserta, Cikgu Daymirza bt Mohri, Guru Tabika Perpaduan Sungai Plan.
Semoga dengan usaha murni ini dapat memberi manfaat kepada guru tabika dalam berkongsi pendekatan dan amalan pembelajaran khususnya kepada guru dalam menarik minat murid terhadap pendidikan STEM.


Date of Input: 20/06/2024 |
Updated: 20/06/2024 | lanz
MEDIA SHARING