UPMKB KONGSI KEPAKARAN DALAM PENDIDIKAN STEM | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » UPMKB KONGSI KEPAKARAN DALAM PENDIDIKAN STEM

UPMKB KONGSI KEPAKARAN DALAM PENDIDIKAN STEM

BINTULU, 15 Julai 2024 - Pameran STEM dan ceramah kerjaya yang dianjurkan oleh Kelab STEM SMK Bandar Bintulu dengan kerjasama Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) telah melibatkan 120 pelajar Tingkatan 4 dan 5.
 
Program ini bertujuan untuk meningkatkan minat dan pengetahuan pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM). Menurut Ketua Projek, ChM. Dr. Sivasangar Seenivasagam dari Jabatan Sains dan Teknologi, UPMKB, program ini adalah satu inisiatif untuk memastikan minat pelajar terhadap STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) sentiasa tinggi.
 
"Program jalinan universiti ini bukan sahaja memberikan pendedahan kepada program-program yang ditawarkan di UPMKB, tetapi juga membuka peluang kepada mereka untuk memahami cabaran dan peluang yang ada untuk para pelajar, terutama dalam bidang kimia,” katanya.
 
Program satu hari ini merangkumi pameran eksperimen kimia seperti pembuatan nilon 6,6, pengesterifikasian, dan pembakaran bahan bakar alkena. Sesi soal jawab juga dibuat bersama pelajar untuk memahami konsep kimia asas, memberi mereka peluang untuk bertanya soalan dan mendapat penjelasan daripada para pensyarah kima yang hadir.
 
Selain itu, ceramah kerjaya juga diadakan dengan tujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai laluan kerjaya yang boleh diambil selepas tamat persekolahan. Ceramah ini memberikan pelajar pandangan yang lebih jelas tentang pilihan pengajian dan kerjaya dalam bidang STEM, serta membantu mereka merancang masa depan dengan lebih terarah.
 
Pn. Rubiah binti Taip, Pengetua SMK Bandar Bintulu, semasa ucapan perasmian berharap agar program sedemikian dapat diteruskan dan berharap UPMKB akan terus memberi sokongan.
 
“Kami berharap program seperti ini dapat membuka minda pelajar tentang peluang yang ada di luar sana dan memberikan mereka motivasi untuk mencapai cita-cita mereka,” ujarnya.
 
Turut hadir dalam program tersebut adalah Dr. Juniza Md Saad, Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, UPMKB; Pn. Sharifah Salamiah binti Wan Ibrahim, Ketua Bidang Sains dan Matematik, SMK Bandar Bintulu; Penasihat Kelab STEM, Pn. A. Vignisvary Arumugam; Dr. Ellie Teo Yi Lih dan Dr. Alvin Lim Teik Zheng dari Jabatan Sains dan Teknologi, UPMKB; serta Dr. Sharon Ong dari Jabatan Sains Sosial dan Pengurusan, UPMKB.
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 16/07/2024 | Updated: 16/07/2024 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/4:10:48:39~noCache