BINTULU 21 Jun, – Pelajar Kursus QKI2101 Inovasi dan Reka Cipta (Kumpulan 101), Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) telah menganjurkan Program Spark & Build di Sekolah Kebangsaan Kampung Baru, Bintulu bertujuan memberi pendedahan awal mengenai konsep inovasi kepada murid sekolah rendah melalui aktiviti berasaskan kitar semula.
Program ‘Spark & Build’ merupakan inisiatif UPMS bagi melahirkan generasi pelajar yang kreatif, berdaya saing dan mampu menyumbang idea serta penyelesaian bermakna kepada masyarakat dan industri. Objektif utama program ini adalah membina keyakinan diri, semangat kepimpinan dan mengasah keupayaan pelajar dalam mencipta inovasi yang praktikal, di samping memupuk minat terhadap alam sekitar serta menyemai nilai tanggungjawab dan kreativiti.
Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program adalah ‘Icebreaking’, ‘Mini Games’, ‘Recycled Innovation Challenge’ dan ‘Pitching & Judging’, yang direka untuk memberi peluang kepada peserta berinteraksi, berkongsi idea dan mencipta penyelesaian inovatif. Aktiviti-aktiviti ini memupuk kerjasama, kepimpinan serta semangat kreatif dalam menghasilkan inovasi yang praktikal dan memberi impak positif kepada kehidupan seharian.
“Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta, malah turut membantu pelajar UPMS memahami pendekatan bekerja bersama individu daripada pelbagai latar belakang selain memperkasa kemahiran kepimpinan dan kerjasama,” ujar En Johan, Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia Sarawak.
Kelihatan murid-murid begitu teruja semasa sesi pembinaan model inovasi, sambil dibimbing oleh fasilitator dari UPMS dengan penuh semangat. Suasana di dalam dewan SK Kampung Baru pada masa itu dipenuhi dengan gelak tawa dan perbincangan aktif, apabila setiap kumpulan cuba menyiapkan ciptaan mereka menggunakan bahan terpakai seperti kotak, botol plastik dan kertas terbuang. Para fasilitator turut memberi sokongan moral dan teknikal bagi memastikan setiap murid berpeluang mengemukakan idea dan menyampaikan hasil inovasi mereka dengan yakin semasa sesi ‘Pitching & Judging’.
“Apa yang anda pelajari hari ini bukan sekadar tentang kitar semula, tetapi tentang bagaimana sebuah idea sederhana boleh bertukar menjadi sesuatu yang bermakna jika diusahakan dengan tekun dan kreatif,” kata En Bong John Min, Ketua Panitia Sains SK Kampung Baru Bintulu yang turut hadir semasa majlis penutupan di dewan SK Kampung Baru.
Date of Input: 07/07/2025 |
Updated: 07/07/2025 | lanz
MEDIA SHARING