UPMS–TOKYO NODAI: MOBILITI PELAJAR PERKUKUH KERJASAMA AKADEMIK GLOBAL | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » UPMS–TOKYO NODAI: MOBILITI PELAJAR PERKUKUH KERJASAMA AKADEMIK GLOBAL

UPMS–TOKYO NODAI: MOBILITI PELAJAR PERKUKUH KERJASAMA AKADEMIK GLOBAL

BINTULU, 7 September – Warna-warni budaya, semangat ilmu dan kesedaran kelestarian bersatu dalam UPMS–Tokyo NODAI Student Mobility Program 2025 yang berlangsung selama dua minggu di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMS). Program ini, yang mengangkat tema “Sarawak’s Climate Adaptation and Mitigation Strategies 2025: Learning and Cultural Exchange (CAMS 2025)”, telah menyatukan 18 pelajar dan dua pengiring dari Tokyo University of Agriculture (Tokyo NODAI) bersama warga akademik UPMS untuk sama-sama menimba pengalaman berharga dalam memahami isu perubahan iklim dan pertukaran budaya.
 
Pengarah Program CAMS 2025, Dr. Keeren Sundara Rajoo berkata “Program CAMS 2025 ini adalah lebih daripada sekadar mobiliti pelajar. Ia merupakan satu platform yang menyatukan ilmu, budaya, dan pengalaman kehidupan sebenar dalam satu perjalanan akademik yang bermakna. Saya amat berbangga melihat bagaimana para pelajar bukan sahaja memperoleh pengetahuan baharu melalui kuliah dan penyelidikan, tetapi juga merasai sendiri kehidupan komuniti tempatan di Sarawak.” Sepanjang berlangsungnya CAMS 2025, peserta telah didedahkan kepada sepuluh siri kuliah berimpak tinggi yang menyentuh aspek sains, teknologi, ekonomi dan masyarakat. Dari kajian mengenai biochar dalam rawatan air, ekonomi perubahan iklim, keusahawanan berasaskan kelestarian, sehinggalah kepada penggunaan bahan biomas untuk penghasilan tenaga hijau, setiap sesi membawa pelajar mendekati dunia penyelidikan yang realistik dan praktikal.
 
Namun, CAMS 2025 bukan sekadar kuliah dalam bilik seminar. Para peserta turut merasai denyut nadi Sarawak melalui aktiviti lapangan. Lawatan pendidikan ke Taman Tumbina Bintulu memperlihatkan kekayaan biodiversiti negeri ini, manakala penglibatan komuniti di rumah panjang yang dikendalikan oleh Pengarah Program, Dr. Keeren Sundara Rajoo, membuka ruang interaksi yang lebih mendalam dengan masyarakat tempatan. Di sinilah pelajar Jepun menyaksikan sendiri warisan budaya, adat resam serta amalan lestari yang diwarisi turun-temurun oleh komuniti peribumi.
 
“Over the past two weeks, I have discovered so many wonderful aspects of Malaysia. I was truly amazed by the rich diversity of food, clothing, and culture that can only be found in such a multi-ethnic country, as well as by the unique landscapes created by its architecture. In addition, learning about Malaysia’s advanced techniques in tropical rainforest management has not only broadened the scope of my own research but also sparked a deep interest in Malaysia’s forests. Most importantly, I have fallen in love with Malaysia—the home of UPM students and the warm hospitality of the longhouse community. I sincerely hope you all will visit Japan in the future. We will do our very best to welcome you, just as warmly as you have welcomed us” komen daripada Kimiko Fujii salah seorang peserta program mobility pelajar dari Tokyo University of Agriculture.
 
Lebih bermakna, pengalaman bersama masyarakat tempatan bukan sahaja membina kefahaman silang budaya, malah memupuk rasa hormat dan persahabatan yang melangkaui sempadan negara. Bagi pelajar Tokyo NODAI, kesempatan ini menjadi cerminan bagaimana ilmu pengetahuan, budaya dan kelestarian boleh bergerak seiring demi masa depan bersama. Program ini juga meninggalkan kesan yang mendalam kepada UPMS. Dengan jayanya penganjuran CAMS 2025, UPMS sekali lagi membuktikan keupayaannya sebagai pusat ilmu bertaraf dunia yang mampu menganjurkan program mobiliti antarabangsa berskala besar. Lebih penting lagi, ia membuka jalan kepada kerjasama penyelidikan yang lebih erat antara Malaysia dan Jepun, khususnya dalam bidang perubahan iklim, biodiversiti dan pembangunan komuniti.
 
Bagi UPMS, penganjuran CAMS 2025 meningkatkan visibiliti universiti di pentas antarabangsa. Ia membuktikan keupayaan kampus dalam menganjurkan program mobiliti berskala global yang memberi manfaat kepada akademia, komuniti, dan masyarakat dunia. Secara tidak langsung, program ini turut membuka peluang kerjasama penyelidikan bersama Tokyo NODAI dalam bidang perubahan iklim, biodiversiti, dan pembangunan komuniti.
 
Tomoka Kamata menyatakan “Participating in this program has been an invaluable experience for me. I am deeply grateful for the fascinating lectures, the warm hospitality of the UPMS students, and the opportunity to learn about Malaysian and Iban culture. Through this program, I have made wonderful friends both locally and internationally, and I have come to appreciate the value of cultural exchange and the importance of taking new steps forward. I hope to apply what I have gained here to my future research activities. Thank you very much”.
 
Majlis penutupan pada 4 September 2025 berlangsung penuh meriah dengan persembahan pelajar, jamuan makan malam dan ucapan penghargaan daripada pihak universiti. Turut hadir memeriahkan majlis ialah YM Tengku Sharifah Marliza Tengku Azmi, Pengetua Kolej Sri Rajang, Dr. Syeed SaifulAzry Osman Al Edrus ,Pengarah Institut Ekosains Borneo, Felo Penasihat serta pegawai-pegawai daripada Institut Ekosains Borneo. Suasana tersebut bukan sahaja menandakan berakhirnya satu program, tetapi juga permulaan kepada hubungan akademik dan budaya yang lebih kukuh di masa hadapan.
 
Diharapkan kerjasama ini akan terus berkembang ke arah pembinaan jaringan global yang memberi manfaat bukan sahaja kepada pelajar, malah juga kepada komuniti dan masyarakat secara keseluruhannya. Dengan ilmu yang dikongsi, pengalaman yang diraih, dan persahabatan yang terjalin, CAMS 2025 akan terus dikenang sebagai program yang menyatukan dua dunia iaitu dunia ilmu dan dunia budaya dalam satu misi bersama: memahami perubahan iklim dan memperjuangkan kelestarian sejagat.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 09/09/2025 | Updated: 09/09/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W, (03:09:41am-03:14:41am, 13 Sep 2025)   [*LIVETIMESTAMP*]