BINTULU: Seramai 19 peserta terdiri daripada penternak sedia ada dan yang baharu dari pelbagai daerah negeri ini menyertai Kursus Intensif Pengurusan Kesihatan dan Kawalan Penyakit Ruminan: Menjamin Keuntungan Ternakan Anda, baru-baru ini.
Kursus anjuran Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan (JSHP), Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan (FSPH) Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Bahagian Bintulu dan Momobes Farm Bintulu itu diadakan di Bilik Kuliah 3 UPMKB pada 25 Mei lalu.
Seterusnya sesi praktikal diadakan di Ladang Momobes, Kampung Tani, Jalan Kuala Tatau pada hari berikutnya untuk peserta tersebut yang merangkumi dari Bintulu, Miri, Mukah, Betong, Saratok dan Kuching.
UPMKB dalam kenyataannya berkata, peserta didedahkan dengan teori dan praktikal mengenai pengurusan penyakit ruminan, antaranya antraks, penyakit kuku dan mulut (FMD), lumpy skin disease (LSD) dan hemorrhagic septicaemia (HS).
Ia perlukan cara pengurusan penyakit yang baik bagi memastikan keuntungan dan kesejahteraan ternakan, tambah kenyataan itu.
Katanya, peserta juga dinasihati tidak mengambil bekalan ternakan dari sumber ladang atau kawasan yang tidak diketahui status penyakitnya bagi mengelakkan penularan penyakit tersebut.
Para peserta dibimbing penceramah dari JSHP FSPH UPMKB yang merupakan pensyarah pakar dalam kesihatan ternakan iaitu Profesor Madya Dr Juriah Kamaludeen dan Dr Bura Paul Thlama.
Turut membimbing ialah Pegawai Veterinar JPV Bintulu Dr Naziah Muntil yang berkongsi mengenai status ternakan di Sarawak dan peranan JPV kepada penternak di Sarawak, jelasnya.
Manakala sesi praktikal di Ladang Momobes katanya, peserta diberi peluang mengaplikasikan pengetahuan yang telah dipelajari seperti cara mengesan tanda-tanda awal penyakit, teknik pengendalian ternakan selamat serta langkah-langkah perlu diambil untuk merawat ternakan yang sakit.
Pada akhir kursus katanya, para peserta diberikan sijil penyertaan tamat kursus yang disampaikan Ketua JSHP Dr Masnindah Malahubban.
Daripada maklum balas peserta katanya, mereka menyatakan puas hati terhadap kursus itu yang bermanfaat dan memberi banyak ilmu baharu boleh diaplikasikan di ladang ternakan mereka.
Date of Input: 11/06/2024 | lanz
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia