BINTULU: Seramai 500 peserta dijangka akan hadir pada Program Perkasa Komuniti di Dalat yang akan diadakan pada 30 April nanti.
Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) dalam kenyataannya berkata, mesyuarat kerjasama penganjuran program telah diadakan dengan jayanya pada 30 Januari lalu (Jumaat) di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Dalat.
Mesyuarat itu bertujuan membincangkan kerjasama strategik pelbagai pihak dalam menjayakan pelaksanaan program berimpak kepada pembangunan komuniti setempat merangkumi aspek pendidikan, ekonomi dan kesihatan.
Pada mesyuarat tersebut, pihak-pihak yang terlibat telah bersetuju secara prinsip bahawa tarikh pelaksanaan program akan diadakan pada tarikh dipersetujui di daerah Dalat, ujarnya.
Sehubungan itu katanya, lawatan tapak turut diadakan bagi mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk penganjuran program dengan mengambil kira kapasiti kawasan, aspek keselamatan dan kemudahan sokongan.
Program itu katanya, dijangka akan disertai kira-kira 500 peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah dan rendah termasuk komuniti setempat. Antara pengisian program yang dibincangkan termasuk ceramah pendidikan, pameran pendidikan daripada beberapa institusi pengajian tinggi, forum ekonomi desa, pameran dan kursus asas penternakan udang kara dan hidroponik.
Dalam pada itu katanya, turut diadakan ialah aktiviti penjanaan pendapatan komuniti, pemeriksaan kesihatan mental pelajar sekolah, pemeriksaan kesihatan umum, kempen derma darah serta pelbagai aktiviti lain yang bersesuaian dengan keperluan masyarakat setempat.
Penganjuran program ini dijangka dapat mengukuhkan lagi jalinan kerjasama strategik antara institusi pendidikan, agensi kerajaan dan pertubuhan komuniti dalam usaha memperkasa kesejahteraan masyarakat Dalat secara menyeluruh dan mampan, tambahnya.
Ketua Pentadbir Pejabat Pengurusan Akademik dan Penyelidikan UPMS Sudirman Asmadi dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Dalat merangkap Ketua Sektor Perancangan, selaku wakil Pegawai Pendidikan Daerah Dalat Adrian Lang antara yang hadir.
Date of Input: 26/03/2026 | lanz

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia