556 GRADUAN DIRAI, UPM SARAWAK TULIS SEJARAH BARU | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» PUTRABAKTI » 556 GRADUAN DIRAI, UPM SARAWAK TULIS SEJARAH BARU

556 GRADUAN DIRAI, UPM SARAWAK TULIS SEJARAH BARU

BINTULU: Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh reputasinya sebagai institusi pendidikan tinggi berteraskan penyelidikan apabila seramai 556 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing sempena majlis Konvokesyen UPM ke-49 Sidang Pertama Sesi 1 yang diadakan di Dewan Sri Kenyalang, Kampus UPM Sarawak (UPMS) hari ini.

Majlis penuh gilang-gemilang itu menyaksikan penganugerahan kepada tujuh graduan Ph.D, 31 graduan Sarjana, 130 graduan Bacelor serta 388 graduan Diploma daripada pelbagai bidang pengajian.

Lebih istimewa, majlis kali ini turut meraikan graduan sulung program Bacelor Sains Kimia Perindustrian dengan Kepujian dan Diploma Pengurusan Perniagaan, menandakan pencapaian penting dalam sejarah UPM Sarawak.

Pro Canselor UPM Tan Sri Peter Chin Fah Kui dalam ucapannya berkata, majlis konvokesyen bukan sekadar penutup perjalanan akademik tetapi simbol pengiktirafan terhadap usaha gigih dan dedikasi para graduan yang telah menempuh pelbagai cabaran sepanjang pengajian.

Kejayaan hari ini bukan hanya hasil usaha individu tetapi turut disumbangkan oleh sokongan padu ibu bapa, penjaga, ahli keluarga serta seluruh warga universiti yang menjadi tonggak kekuatan kepada para graduan, katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan universiti atas kejayaan cemerlang UPM dalam QS World University Rankings 2026 yang menurutnya mencerminkan komitmen universiti memperkukuh reputasi akademik dan penyelidikan di peringkat antarabangsa.

Menurut beliau, pelaksanaan Pelan Kerangka Hala Tuju Strategik UPM (True North) yang diilhamkan oleh Naib Canselor UPM Datuk Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah akan menjadi panduan utama dalam memacu pembangunan masa depan universiti terbabit.

Pelan ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan UPM sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan dan pendidikan tetapi juga mengeratkan hubungan strategik dengan Kerajaan Sarawak dan sektor industri, jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap peranan UPM Sarawak dalam memacu agenda keterjaminan makanan negara menerusi Projek Transformasi Penanaman Padi AgriHub@Gedong, hasil kerjasama dengan Kerajaan Sarawak.


Katanya, projek itu telah berjaya meningkatkan hasil padi daripada 2 tan sehektar kepada 5 tan sehektar dengan sasaran sehingga 8 tan sehektar melalui penggunaan teknologi penanaman moden.

Selain di Gedong, UPM Sarawak juga memperluas kehadirannya di Utara Sarawak melalui Program Pengurusan Penternakan Kerbau di Lawas (UPMS@Lawas) dan di Tanjung Manis (UPMS@Tanjung Manis) dengan kerjasama Centre for Technology Excellence Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak dan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA).

Inisiatif ini bukan sekadar peluasan fizikal universiti tetapi membentuk jaringan ilmu, teknologi dan komuniti yang merentasi wilayah serta memperkasa ekonomi tempatan, tambah beliau lagi.

Tan Sri Peter Chin turut menekankan pencapaian antarabangsa Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB) yang diterajui UPMS dan dianggotai 16 universiti dari Brunei, Indonesia (Kalimantan), Sabah dan Sarawak.

Melalui inisiatif seperti Borneo Youth Leadership Summit dan International Conference on Borneo Sustainability, KUUB telah menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama pendidikan dan penyelidikan di rantau Borneo, katanya.

Beliau turut memuji kerjasama antara Kerajaan Sarawak dan UPM dalam penubuhan Sekolah Veterinar dan Sains Haiwan di Kuching yang dijangka dibuka tahun hadapan bagi melahirkan lebih ramai tenaga profesional dalam bidang veterinar.

Dalam ucapannya juga, Tan Sri Peter Chin mengingatkan para graduan agar mengekalkan nilai amanah dan integriti dengan melunaskan pinjaman pendidikan masing-masing sebagai tanda syukur terhadap peluang ilmu yang diperoleh.

Keberkatan ilmu hadir apabila kita menunaikan janji dan menyempurnakan tanggungjawab dengan ikhlas, tegas beliau.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas sokongan berterusan Kerajaan Negeri terhadap pembangunan UPMS.

Pada masa sama, beliau juga menyeru agar semangat Berilmu, Berbakti terus dijadikan pegangan warga UPM dalam mendepani cabaran dan membina masa depan yang lebih makmur untuk Sarawak dan Malaysia.


Date of Input: 13/11/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (07:46:48am-07:51:48am, 30 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]