Bintulu, Program AnimEX 6.0 yang berlangsung pada 2 hingga 3 November 2024 sempena Majlis Konvokesyen UPM kali ke-48 Sidang 1 di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB), merupakan kesinambungan daripada program Animal Exhibition, bertujuan untuk mendekatkan kehidupan fauna kepada komuniti setempat. Tahun ini, program ini menekankan tema penting mengenai jurang yang wujud antara manusia dan haiwan dalam kehidupan seharian.
Pelajar dari kursus QKK2101 Bakti Siswa Kumpulan 1 dan 2, Semester Pertama, Sesi Akademik 2024/2025, mengambil tanggungjawab untuk mencari penyelesaian bagi merapatkan jurang ini, dan ini dilaksanakan menerusi penganjuran Program THE BAKSIS Day Putra Bakti@AnimEX 6.0. Program ini dianjurkan di bawah kelolaan fasilitator Encik Mohammad Saufi Mohammad Ramli dan Encik Roslan Ismail.
Dalam ucapannya, Encik Mohammad Saufi menjelaskan bahawa program ini berteraskan perlindungan dan pemeliharaan haiwan melalui konsep Farm and Pet Care Education, yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat pada pelbagai peringkat umur tentang pentingnya melindungi dan menyayangi haiwan. Ini diharap dapat mengurangkan kes-kes kekejaman dan penganiayaan terhadap haiwan.
Antara aktiviti utama dalam program ini adalah ceramah bertajuk Human and Animal Talk oleh Encik Muhammad Abdul Rahim Bin Habib, serta sesi AnimEx Vaccination Programmeyang dikendalikan oleh Dr. Siti Nurhani Binti Arib. Program-program lain yang turut diadakan termasuk aktiviti melukis wajah haiwan dan permainan yang mendidik dalam bentuk yang menyeronokkan, bertujuan untuk mendekatkan pengunjung kepada dunia haiwan.
Acara kemuncak program ini adalah AnimEx Explorace, sebuah pertandingan bercerita dan mewarna yang mendapat sambutan hangat, terutamanya daripada kanak-kanak yang berumur 6 – 12 tahun. Aktiviti ini bukan sahaja menggalakkan pembelajaran tetapi juga mengeratkan ikatan kekeluargaan dan meningkatkan pengetahuan dalam kalangan pengunjung.
Encik Roslan Ismail, fasilitator program, turut menjelaskan bahawa pameran haiwan ternakan yang diadakan memberi peluang kepada pengunjung, terutama kanak-kanak dan remaja, untuk berinteraksi langsung dengan haiwan-haiwan tersebut. Pendedahan ini memberi manfaat besar kerana generasi muda bukan sahaja mempelajari teori mengenai haiwan, tetapi juga berpeluang untuk melihat dan menyentuh haiwan tersebut secara langsung, suatu pengalaman pembelajaran berdasarkan pendekatan hands-on.
Program ini diharap dapat menyampaikan mesej penting kepada masyarakat setempat mengenai kepentingan menjaga dan memelihara haiwan dengan baik. Selain itu, penganjuran program ini juga memberi peluang kepada para pelajar untuk meningkatkan kemahiran insaniah mereka, seperti rasa tanggungjawab dan empati, kerana memelihara haiwan memerlukan penjagaan dan perhatian berterusan.
Dengan kerjasama dan komitmen yang terjalin sepanjang program ini, diharapkan AnimEx akan terus berlangsung pada masa depan, dan menunggu edisi seterusnya, AnimEx 7.0.
Date of Input: 17/01/2025 | lanz
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia