Bintulu, 23 Julai 2025 – Institut Ekosains Borneo (IEB), Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) sekali lagi mengorak langkah ke hadapan dalam menyemai minat sains dan inovasi alam sekitar dalam kalangan generasi muda menerusi penganjuran program ECF2025: RHISS @ IEB-UPMS – Exploring Climate Futures: A Journey into Environmental Innovation.
Program bermakna ini telah menerima kehadiran seramai 54 orang pelajar dan 6 orang guru pengiring dari Riam Hill International Secondary School (RHISS), Miri, dalam satu lawatan ilmiah yang julung kali diadakan di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS). Program ini diketuai oleh Ts. ChM. Dr. Azrul Nurfaiz Mohd Faizal, dengan objektif utama untuk memberikan pendedahan awal kepada para pelajar mengenai peranan sains, teknologi dan inovasi dalam menghadapi cabaran perubahan iklim serta menyokong agenda pembangunan mampan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Syeed SaifulAzry Al-Edrus, Pengarah Institut Ekosains Borneo, bertempat di Dewan Kuliah Pusat 2B. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan pendidikan iklim dan teknologi hijau dalam membentuk minda generasi akan datang yang lebih cakna terhadap alam sekitar.
Pelbagai aktiviti interaktif dan hands-on telah disusun di tiga lokasi berbeza sekitar kampus bagi memberikan pengalaman pembelajaran yang menyeluruh:
Dewan Kuliah Pusat 2B
• GPS data collection, Mark & Find Location using Handheld GPS oleh Ts. Gs. Dr. Wan Nor Zanariah Zainol @ Abdullah.
• From Closet to Climate: The Hidden Impact of What We Wear oleh Dr. Sharon Ong Yong Yee.
Makmal Mekanik Tanah
• Making soap from waste cooking oil oleh Ts. ChM. Dr. Azrul Nurfaiz Mohd Faizal
• Polymer from starch oleh Dr. Hanifawati Inai
Makmal Kimia Fizik
• Determination Of Functional Groups oleh ChM. Dr. Alvin Lim Teik Zheng
• Nylon Synthesis –Making Synthetic Polymers oleh ChM. Dr. Sivasangar Seenivasagam
Program ini juga dibantu oleh pasukan fasilitator yang berdedikasi terdiri daripada pelajar pascasiswazah dan prasiswazah UPMS, yang turut berkongsi ilmu dan pengalaman mereka bersama para pelajar RHISS.
Melalui pendekatan bersepadu ini, ECF2025 bukan sekadar lawatan akademik, malah menjadi medan aspirasi dan inspirasi kepada pelajar untuk lebih memahami potensi sains dan teknologi dalam membina masa depan yang lestari. IEB UPMS juga mengambil peluang ini untuk memperkenalkan pelbagai inisiatif penyelidikan dan kemudahan pembelajaran yang tersedia kepada bakal pelajar masa depan.
Date of Input: 28/07/2025 | lanz
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia