Surabaya, Indonesia – Dua pelajar Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) telah mengharumkan nama negara dengan penyertaan mereka dalam 20th AUN dan 9th ASEAN+3 Educational Forum and Young Speakers Contest dengan tema Emancipatory Education as a Path towards an Emancipated Future.
Program berprestij anjuran ASEAN University Network (AUN) ini berlangsung dari 22 hingga 27 Oktober 2024 di Universitas Airlangga (UNAIR), Surabaya, Indonesia. Sebanyak 18 universiti dari tujuh negara ASEAN+3 iaitu Malaysia, Filipina, Kemboja, Thailand, Vietnam, Indonesia, Jepun, dan China telah mengambil bahagian.
Muhammad Hud Aqeel Abdullah, pelajar Tahun 3 Bacelor Sains Pembangunan Manusia Dengan Pengurusan (Kepujian) dari Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains (FKPS), mencatat pencapaian cemerlang dengan berada dalam kelompok lapan terbaik dalam Young Speakers Contest. Johan dan Naib Johan kategori ini dirangkul oleh Ms. Filolita Zatadini Prasetya (Universitas Gajah Mada) dan Ms. Maria Arabela Bergas Guzman (De La Salle University).
Sesi Educational Forum pula memberikan peluang kepada para delegasi untuk membentangkan kertas dasar negara masing-masing, yang menyumbang kepada dialog serantau mengenai pendidikan dan dasar-dasar yang relevan. Delegasi UPMKB terdiri daripada Muhammad Hud Aqeel dan Ugeneish A/L Balakrishnan, pelajar Diploma Kesihatan Haiwan dan Penternakan Tahun 2 dari Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan (FSPH).
Kedua-dua delegasi UPMKB ini diiringi oleh Dr. Juniza Binti Md Saad, Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) FKPS, yang turut terlibat sebagai juri jemputan mewakili Malaysia. Penyertaan aktif dari institusi pendidikan seperti UPMKB menunjukkan sokongan dan komitmen universiti dalam melahirkan pemimpin muda yang berwibawa dan berwawasan.
Secara dasarnya, program ini bertujuan membantu golongan belia di rantau ASEAN menyuarakan pandangan, mengetengahkan idea-idea bernas, serta melakukan anjakan paradigma dalam membantu masyarakat yang peka dan proaktif terhadap isu-isu politik, ekonomi, dan sosial.
Selain itu, program ini juga menyediakan sesi interaktif, peluang rangkaian, dan pembentangan kertas dasar yang menyumbang kepada dialog serantau mengenai pendidikan.menekankan pentingnya pendidikan yang membebaskan sebagai jalan menuju masa depan yang lebih inklusif dan berdaya.
Selain daripada pertandingan pidato dan forum pendidikan, para delegasi turut terlibat dalam pelbagai aktiviti lain seperti bengkel, sesi perbincangan kumpulan, dan lawatan budaya. Aktiviti-aktiviti ini bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan antara delegasi dari pelbagai negara serta meningkatkan pemahaman mereka tentang budaya dan isu-isu serantau. Penyertaan aktif dari institusi pendidikan seperti UPMKB menunjukkan sokongan dan komitmen universiti dalam melahirkan pemimpin muda yang berwibawa dan berwawasan.
Pencapaian pelajar dalam forum ini bukan sahaja mengharumkan nama UPMKB secara khusus dan UPM secara amnya, malah menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing. Pihak penganjur turut memuji semangat dan kecekapan para delegasi yang menunjukkan potensi besar generasi muda ASEAN+3 dalam bidang komunikasi dan kepimpinan.
Date of Input: 17/01/2025 | lanz
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia