INTERNATIONAL PUTRA BAKTI@YOUTH DIGITAL 2025 DIHARAP BERIMPAK BESAR | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» PUTRABAKTI » INTERNATIONAL PUTRA BAKTI@YOUTH DIGITAL 2025 DIHARAP BERIMPAK BESAR

INTERNATIONAL PUTRA BAKTI@YOUTH DIGITAL 2025 DIHARAP BERIMPAK BESAR

BINTULU: Program International Putra Bakti@Youth Digital 2025 diharap memberi impak besar terhadap perkembangan ekosistem keusahawanan digital dalam kalangan belia serta mempromosikan penggunaan teknologi inovatif dalam pendidikan dan masyarakat.

Penasihat programnya, Roslan Ismail berkata, ia merupakan langkah proaktif dalam mempersiapkan generasi muda dengan kemahiran digital yang relevan, sekali gus menyokong pembangunan ekonomi digital di Malaysia. Melalui program itu kita turut berharap dapat memperkasa belia melalui penggunaan teknologi dan inovasi dalam bidang keusahawanan digital, ujarnya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai penganjuran program anjuran Pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit QKK2101 Bakti Siswa (Kumpulan 2), Semester Kedua Sesi Akademik 2024/2025, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) Sarawak pada 1 dan 2 Mac lalu di TEGAS Digital Innovation Hub Bintulu. Roslan berkata, program yang turut berlangsung secara hibrid itu mendapat sambutan memberangsangkan daripada 150 peserta termasuk penyertaan secara fizikal dan dalam talian dari Brunei, Indonesia, Nigeria dan China.

Katanya, program ini diadakan dengan kerjasama strategik Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB) serta Youth Leadership and Entrepreneurship (YLE) 2025. Bertemakan Empowering Youth: Digital Forward (Memperkasa Belia: Maju Digital) program tersebut katanya, menjadi platform bagi belia dan pelajar merancang serta melaksanakan aktiviti berkaitan keusahawanan digital dengan pendekatan pembelajaran bersemuka secara menyeluruh. Menurutnya, ia seiring dengan revolusi teknologi 4.0 kecerdasan buatan (AI) dalam usaha memperkasa dunia digital.

Beliau berkata, julung kali program ini menampilkan slot utama penyampaian ceramah oleh Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM Profesor Madya Dr Mohd Mursyid Arshad yang mengupas tajuk The role of AI in Youth-Adult Partnership for Digital Literacy (Peranan AI dalam Kerjasama Belia-Dewasa bagi Literasi Digital). Dalam ceramah itu beliau menekankan kepentingan AI dalam memperkukuh hubungan antara golongan belia dan dewasa bagi meningkatkan celik digital dalam kalangan anak muda. Jelasnya, pemupukan semangat Jiwa Putra perlu selari dengan True North UPM iaitu Best Living and Learning Experience (Pengalaman Hidup dan Pembelajaran Terbaik).

Seminar ini mengandungi enam slot utama dengan penceramah yang berpengalaman iaitu Slot 1: AI @ 101 – En. Zulkernain Zamawi membincangkan perkembangan dan impak AI terhadap industri, Slot 2: Online Digital Marketing – Dr. Sharon Ong Yong Yee berkongsi teknik pemasaran digital dalam talian yang efektif, Slot 3: Career Development and Mentorship in Digital Era – En. Tc. Lee Zhi Eng menerangkan strategi pembangunan kerjaya dan kepentingan bimbingan dalam dunia digital, We Think, We Sell – The Creative Thinker – Dr. Azfar Tomi menekankan pemikiran kreatif dalam pemasaran dan jualan, Creating a Design in Canva – Dr. Nurul Nadwa Zulkifli berkongsi teknik menghasilkan rekaan digital menggunakan Canva dan Photography 101 – En. Benedict Miden memperkenalkan asas fotografi dalam pemasaran digital. Selain sesi ceramah, peserta turut menyertai aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang menguji daya kreativiti dan kemahiran keusahawanan mereka.

Mewakili Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Cik Shakinah Asniza Mortadza menekankan kepentingan penguasaan teknologi digital dalam membangunkan modal insan yang kompetitif di era globalisasi. Menurutnya, program ini membuka peluang kepada peserta untuk menimba ilmu, mengasah bakat, serta memperkukuhkan kemahiran digital yang diperlukan dalam dunia moden.

Majlis penutupan disempurnakan oleh YBrs. Tn. Haji Fakhzan Haji Buang, Ketua Setiausaha Kehormat KUUB merangkap Timbalan Pengerusi YLE UPMKB, yang mewakili Pengarah Kampus. Beliau menyatakan bahawa program ini memainkan peranan penting dalam membentuk belia yang celik digital, inovatif, dan berdaya saing di peringkat global.

Pengarah Program, Alfievian Aiere Anak Roslan, berharap program ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif dalam melahirkan generasi pemimpin berwawasan dan berintegriti. Turut hadir ialah Ts. Dr. Rozzamri Ashari (Timbalan Pengarah PKPP), Ts. Dr. Suhaili Mustafa (Ketua Kluster Inovasi, KUUB), dan Pn. Nur Asyiqin Zaidi (Ketua Penyelaras YLE UPMKB). Penganjuran seminar ini diharapkan dapat membantu peserta memahami dan menguasai kemahiran digital yang semakin relevan dalam dunia keusahawanan moden. Dengan kehadiran penceramah-penceramah berkaliber, program ini telah memberi impak yang besar dalam membuka peluang dan membangunkan potensi individu dalam era digital. Diharapkan seminar ini dapat dianjurkan pada masa dan edisi seterusnya bagi memberi manfaat kepada lebih ramai peserta pada masa hadapan.

Turut hadir, Tn. Haji Fakhzan Haji Buang, Ketua Setiausaha Kehormat KUUB merangkap Timbalan Pengerusi YLE UPMKB, yang mewakili Pengarah Kampus, Mewakili Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Cik Shakinah Asniza Mortadza, Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) UPM Dr Rozzamri Ashari, Ketua Kluster Inovasi KUUB Dr Suhaili Mustafa dan Ketua Penyelaras YLE UPMKB Nur Asyiqin Zaidi.

Date of Input: 07/03/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/5:5:51:55~noCache