INTERNATIONAL PUTRA BAKTI@YOUTH DIGITAL 2025 DIHARAP BERIMPAK BESAR | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» PUTRABAKTI » INTERNATIONAL PUTRA BAKTI@YOUTH DIGITAL 2025 DIHARAP BERIMPAK BESAR

INTERNATIONAL PUTRA BAKTI@YOUTH DIGITAL 2025 DIHARAP BERIMPAK BESAR

BINTULU: Program International Putra Bakti@Youth Digital 2025 diharap memberi impak besar terhadap perkembangan ekosistem keusahawanan digital dalam kalangan belia serta mempromosikan penggunaan teknologi inovatif dalam pendidikan dan masyarakat.

Penasihat programnya, Roslan Ismail berkata, ia merupakan langkah proaktif dalam mempersiapkan generasi muda dengan kemahiran digital yang relevan, sekali gus menyokong pembangunan ekonomi digital di Malaysia.

Melalui program itu kita turut berharap dapat memperkasa belia melalui penggunaan teknologi dan inovasi dalam bidang keusahawanan digital, ujarnya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai penganjuran program anjuran Pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit QKK2101 Bakti Siswa (Kumpulan 2), Semester Kedua Sesi Akademik 2024/2025, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) Sarawak pada 1 dan 2 Mac lalu di TEGAS Digital Innovation Hub Bintulu.

Roslan berkata, program yang turut berlangsung secara hibrid itu mendapat sambutan memberangsangkan daripada 150 peserta termasuk penyertaan secara fizikal dan dalam talian dari Brunei, Indonesia, Nigeria dan China.

Katanya, program ini diadakan dengan kerjasama strategik Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB) serta Youth Leadership and Entrepreneurship (YLE) 2025.

Bertemakan Empowering Youth: Digital Forward (Memperkasa Belia: Maju Digital) program tersebut katanya, menjadi platform bagi belia dan pelajar merancang serta melaksanakan aktiviti berkaitan keusahawanan digital dengan pendekatan pembelajaran bersemuka secara menyeluruh.

Menurutnya, ia seiring dengan revolusi teknologi 4.0 kecerdasan buatan (AI) dalam usaha memperkasa dunia digital.

Beliau berkata, julung kali program ini menampilkan slot utama penyampaian ceramah oleh Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM Profesor Madya Dr Mohd Mursyid Arshad yang mengupas tajuk The role of AI in Youth-Adult Partnership for Digital Literacy (Peranan AI dalam Kerjasama Belia-Dewasa bagi Literasi Digital).

Dalam ceramah itu beliau menekankan kepentingan AI dalam memperkukuh hubungan antara golongan belia dan dewasa bagi meningkatkan celik digital dalam kalangan anak muda.

Jelasnya, pemupukan semangat Jiwa Putra perlu selari dengan True North UPM (UPM Utara Sebenar) iaitu Best Living and Learning Experience (Pengalaman Hidup dan Pembelajaran Terbaik).

Pada masa sama program ini turut menampilkan enam slot utama lain dengan penceramah-penceramah berpengalaman dalam bidang masing-masing.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) UPM Dr Rozzamri Ashari, Ketua Kluster Inovasi KUUB Dr Suhaili Mustafa dan Ketua Penyelaras YLE UPMKB Nur Asyiqin Zaidi.

Date of Input: 13/03/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/4:9:05:32~noCache