BINTULU, 11 Ogos 2025 – Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) telah menerima kunjungan hormat daripada pihak Yayasan Sarawak susulan lawatan pihak UPMS ke pejabat Yayasan Sarawak pada 9 Jun 2025 yang lalu. Lawatan ini bertujuan memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua pihak khususnya dalam bidang pendidikan dan kebajikan pelajar selain menyantuni pelajar Sarawak yang sedang melanjutkan pengajian di UPMS.
Terdahulu, taklimat pengenalan UPM Sarawak telah dibentangkan oleh Prof. Madya Dr. Wong Tze Jin, Dekan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, yang mewakili Pengarah UPMS, Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini.
Program lawatan diteruskan dengan Mesyuarat bersama Pengurusan UPMS yang membincangkan potensi kerjasama termasuk inisiatif penajaan dan sokongan pembangunan akademik. Seterusnya, pihak Yayasan Sarawak mengadakan Taklimat Biasiswa yang disampaikan kepada pelajar Sarawak di UPMS bagi memberi pencerahan berkenaan peluang biasiswa, pinjaman pendidikan, serta proses permohonan dan pembayaran balik.
Delegasi Yayasan Sarawak diketuai oleh YBhg. Datu Mohamad Junaidi bin Mohidin, Pengarah Yayasan Sarawak, bersama lima pegawai kanan iaitu En. Watson Chunggat Leornard Doo (Timbalan Pengarah Pendidikan), Pn. Hajijah binti Morsidi (Ketua Penolong Pengarah, Pembiayaan Pendidikan dan Bayaran Balik), En. Liew Zhe Rong (Penolong Pengarah, Bayaran Balik), En. Yantiska bin Mahmud (Penolong Pengarah, Pembayaran Pinjaman) dan En. Franklyn Messat Anak Kujang (Ketua Seksyen, Kelulusan Permohonan).
Lawatan ini diharapkan dapat membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara UPMS dan Yayasan Sarawak dalam memastikan lebih ramai pelajar di negeri ini mendapat akses kepada peluang pendidikan yang berkualiti.
Date of Input: 13/08/2025 | lanz
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia