LAWATAN PENANDA ARAS PERPUSTAKAAN UPMKB KUNJUNGI PERPUSTAKAAN UNIVERSITI MALAYA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» PUTRABAKTI » LAWATAN PENANDA ARAS PERPUSTAKAAN UPMKB KUNJUNGI PERPUSTAKAAN UNIVERSITI MALAYA

LAWATAN PENANDA ARAS PERPUSTAKAAN UPMKB KUNJUNGI PERPUSTAKAAN UNIVERSITI MALAYA

KUALA LUMPUR, 21 Jun: Rombongan penanda aras dari Perpustakaan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) ke Perpustakaan Universiti Malaya (UM) di Kuala Lumpur telah berlangsung baru-baru ini. Lawatan ini bertujuan untuk memperluas pengetahuan dan pengalaman dalam pengurusan perpustakaan serta bertukar pendapat mengenai isu-isu terkini dalam bidang perpustakaan akademik.

Rombongan yang terdiri daripada dua orang pustakawan Kanan UPMKB dipimpin oleh Encik Awang Ahmad Faizi bin Awg Dahlan, Ketua Perpustakaan UPMKB. Mereka disambut oleh wakil Pengurusan Perpustakaan Universiti Malaya yang diketuai oleh Puan Shamsiah Abu Bakar, Penolong Ketua Pustakawan dan Encik Amir bin Hamzah, Pustakawan Kanan yang kemudiannya memberikan penerangan awal mengenai sejarah dan struktur perpustakaan serta kemudahan yang disediakan.

Lawatan setengah hari itu, memberi peluang kepada peserta untuk melawat beberapa bahagian penting dalam Perpustakaan UM, termasuk kemudahan pengguna, pusat sumber digital serta Galeri UM. Mereka juga terlibat dalam sesi perbincangan yang aktif mengenai pelaksanaan teknologi maklumat terkini dalam pengurusan perpustakaan, strategi pengumpulan koleksi, dan inisiatif pemeliharaan bahan Institusi.

Encik Awang Ahmad Faizi menyatakan, Lawatan ini memberi peluang yang berharga kepada kami untuk melihat sendiri bagaimana salah satu perpustakaan terkemuka di Malaysia menguruskan koleksi dan menyediakan perkhidmatan kepada komuniti akademik. Kami berharap pengalaman ini dapat memberi inspirasi dalam meningkatkan standard perkhidmatan di perpustakaan kami.

Sementara itu, Penolong Ketua Pustakawan UM, Puan Shamsiah Abu Bakar mengakui pentingnya pertukaran pengetahuan antara institusi untuk memperkukuhkan kerjasama dan memajukan bidang perpustakaan di Malaysia. Beliau berharap lawatan ini memberi manfaat yang berterusan kepada kedua-dua pihak dan menyumbang kepada pembangunan profesionalisme dalam pengurusan perpustakaan di peringkat negara.

Lawatan ini merupakan sebahagian daripada aktiviti kerjasama antara UPMKB dan UM dalam meningkatkan prestasi perkhidmatan perpustakaan serta memperkaya pengalaman staf dalam bidang pengurusan maklumat dan pengetahuan.

Date of Input: 02/07/2024 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/4:4:38:06~noCache