BINTULU, 1 Mac 2026 – Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Sri Rajang (KSR), Universiti Putra Malaysia Sarawak telah menganjurkan program Jiwa Putra @ Jelajah Kasih Ramadan Edisi Bintulu Sarawak di Surau Darussyakirin, Bintulu dengan kerjasama Marrybrown sebagai penaja utama, MyFundAction Malaysia dan Youth of Strength and Happiness (YOSH).
Program kebajikan sempena Ramadan ini turut melibatkan penyertaan mahasiswa daripada pelbagai institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Sains Islam Malaysia, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan dan kerjasama antara mahasiswa pelbagai universiti.
Program ini melibatkan penyediaan dan pengagihan 1,000 pek bubur lambuk kepada komuniti setempat sebagai tanda keprihatinan dan semangat berkongsi rezeki dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Bubur lambuk turut diagihkan kepada penduduk sekitar, anggota bomba dan polis serta pelajar maahad tahfiz berhampiran sebagai usaha menyantuni pelbagai lapisan masyarakat.
Penasihat Program, Puan Azizah binti Abdul Manaf berkata program berunsurkan khidmat komuniti ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk menyumbang bakti kepada masyarakat sambil memupuk nilai empati dan tanggungjawab sosial. Program seperti ini membantu membentuk mahasiswa yang berjiwa masyarakat serta peka terhadap keperluan komuniti setempat, katanya.
Antara pengisian utama program termasuk aktiviti memasak bubur lambuk secara gotong-royong yang melibatkan sukarelawan mahasiswa bersama komuniti setempat, pembungkusan makanan serta pengagihan kepada penerima di sekitar kawasan surau dan lokasi berhampiran. Suasana kerjasama antara sukarelawan dan komuniti setempat jelas menyerlahkan semangat kebersamaan dan perpaduan masyarakat.
Sementara itu, Pengarah Program, Muhammad Alif Ashraf bin Razman berkata penganjuran program ini dapat memberi manfaat kepada komuniti setempat di samping mengeratkan hubungan antara mahasiswa dan masyarakat.
Program ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan kerana ia bukan sahaja menyemai semangat kesukarelawanan, malah memperkukuh hubungan silaturahim antara institusi pendidikan tinggi dan komuniti setempat.
Date of Input: 30/03/2026 | lanz

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia