BINTULU: Mahasiswa Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) telah menyumbang tenaga bersama warga tahfiz dan penduduk setempat pada Majlis Korban Perdana Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah (MTS) Bintulu sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1447 Hijrah 2026 pada Rabu lepas.
Jurucakap UPMS berkata, mahasiswa UPMS berganding bahu membantu pelbagai urusan program bagi memastikan kelancaran majlis seawal pagi bermula dari persiapan sehingga ke penghujungnya.
Katanya, kehadiran mahasiswa ini bukan sekadar menyumbang tenaga malah membawa semangat ukhuwah, keprihatinan dan khidmat kepada komuniti.
Sementara itu, Mudir MTS Bintulu Wan Ahmad Adzhan Wan Samokti berkata, pihak maahad amat menghargai komitmen yang ditunjukkan oleh mahasiswa UPMS.
Alhamdulillah, mahasiswa UPMS sangat membantu sehingga akhir program dan MTS merakamkan ribuan terima kasih atas sokongan, pengorbanan masa serta tenaga mereka, ujarnya.
Beliau berkata, ketika kebanyakan yang lain sudah pulang dari pusat itu, para mahasiswa terbabit masih meneruskan kerja dengan baik sekali gus mendoakan agar Allah SWT menerima segala usaha ini.
Pengalaman ini diharap akan membentuk jati diri mereka sebagai pemimpin masa hadapan, katanya.
Pensyarah yang juga wakil Pejabat Pengurusan Pelajar UPMS Mohammad Saufi Mohammad Ramli berkata, penglibatan pelajar dalam program komuniti seperti ini merupakan platform terbaik membentuk nilai kepimpinan, empati dan semangat kebersamaan.
UPMS sentiasa menggalakkan mahasiswa untuk turun ke lapangan dan menyumbang kepada masyarakat, katanya.
Ujarnya, program seperti ini bukan sahaja mengajar erti khidmat bakti, malah membina sahsiah, disiplin dan jiwa kepimpinan dalam kalangan pelajar.
Beliau berkata, pihaknya amat berbangga melihat kesungguhan pelajar yang terus komited membantu dalam kerja-kerja ibadah korban yang dilaksanakan sehingga selesai.
Tambahnya, Majlis Korban Perdana ini membuktikan bahawa semangat kesukarelawanan mahasiswa mampu memberi impak besar kepada komuniti.
Jelasnya, keikhlasan tenaga yang dicurahkan menjadi simbol bahawa mahasiswa bukan sahaja cemerlang di bilik kuliah, tetapi juga mampu dekat di hati masyarakat.
Date of Input: 22/06/2026 | lanz

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia