SUNGAI ASAP, 12 Januari – Program Peji Ha Uma Bawang! berjaya menghimpunkan lebih 100 peserta termasuk mahasiswa-mahasiswa Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) dan komuniti Uma Bawang dalam usaha memperkasakan hubungan komuniti dan memperkenal inovasi pertanian moden di kawasan pedalaman Sarawak.
Program tiga hari dua malam yang berlangsung dari 10 hingga 12 Januari 2025 di Uma Bawang, Sungai Asap, Belaga ini dianjurkan oleh sekumpulan pelajar Kursus QKK2101 Bakti Siswa (Kumpulan 101), UPMKB iaitu seramai 23 orang.
Menurut En. Mohamad Syukri Bin Mohamad Adnan, yang telah mewakili Pengarah Kampus UPMKB; penganjuran program ini menjadi platform penting untuk pelajar mendalami budaya setempat dan berinteraksi secara langsung dengan masyarakat luar bandar. Program ini mampu memupuk semangat kepimpinan dan meningkatkan kemahiran insaniah pelajar melalui pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan, katanya semasa merasmikan penutupan program tersebut.
Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang program berlangsung, antaranya lawatan ke Empangan Hidroelektrik Bakun pada 10 Januari 2025 yang dikelolakan oleh syarikat Sarawak Energy Berhad, aktiviti Fun Run bersama 14 mahasiswa UPMKB yang bertindak sebagai peserta luar program ini serta komuniti Uma Bawang termasuk kanak-kanak dan keluarga angkat.
Selain itu, aktiviti memasak serta membuat kuih tradisional kaum Kayan seperti kuih dinuh daripada tepung ubi dan juga ubi kayu bersama ibu-ibu angkat, Aquaponic Talk dan sesi demonstrasi pemasangan set akuaponik, senamrobik dan sukaneka bersama komuniti turut diadakan. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara pelajar dan penduduk setempat, malah ianya juga dapat memberikan pendedahan kepada teknologi pertanian moden yang boleh diaplikasikan di kawasan Uma Bawang.
Ketua Kampung Uma Bawang, En. Ellison Duren Lihan menyatakan penghargaan terhadap usaha para pelajar UPMKB. Kami amat berbesar hati menerima kehadiran pelajar UPMKB yang sudi berkongsi ilmu. Ini satu pengalaman yang amat bermakna bagi komuniti kami, katanya.
Program ini turut melibatkan penganjuran Malam Silang Budaya yang meriah dengan persembahan kebudayaan seperti tarian Ngajat, peragaan pakaian tradisional Orang Ulu dan pembuatan aksesori daripada manik. Aktiviti ini telah berjaya memupuk semangat kekitaan dan memperkenal warisan budaya masyarakat Uma Bawang kepada para peserta.
Penganjuran program seperti ini bukan sahaja mampu mengasah bakat kepimpinan pelajar, malah dapat memberi pendedahan luas kepada pelajar tentang kepelbagaian budaya serta cabaran yang dihadapi komuniti luar bandar, sekali gus memupuk rasa tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa, ujar Ts. Gs. Dr. Wan Nor Zanariah Zainol @ Abdullah selaku penasihat kepada program ini.
Program Peji Ha Uma Bawang! diakhiri dengan majlis penutupan yang disempurnakan oleh En. Mohamad Syukri Bin Mohamad Adnan, diikut i dengan penyampaian cenderamata kepada penduduk kampung sebagai tanda penghargaan. Pelajar Kursus QKK2101 Bakti Siswa (Kumpulan 101), UPMKB turut menyerahkan papan sejarah Uma Bawang yang dihasilkan sendiri sebagai tanda kenang-kenangan dan simbolik penghargaan kepada komuniti Uma Bawang.
Date of Input: 17/01/2025 | lanz
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia