BINTULU: Pendedahan berkaitan sains akan membantu memperkasa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), kata Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tatau Layang Unam.
Beliau berkata, perkongsian ilmu bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar bahkan memberikan input baharu kepada guru-guru sekolah itu berkaitan aplikasi teknologi hijau dalam pendidikan dan amalan harian.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Program Kolej Mini Akademik: Meneroka Kimia Hijau melalui Pembuatan Sabun Daripada Minyak Masak Terpakai di SMK Tatau, semalam.
Program tersebut merupakan anjuran Sekretariat Akademik dan Pembangunan Intelektual Kolej Sri Rajang, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) dengan kerjasama SMK Tatau.
Sementara itu, pengarah program Bennicia Tan Man Swen berkata, program itu merupakan inisiatif awal untuk memberi pendedahan kepada pelajar UPMS tentang penglibatan komuniti serta memperkukuh peranan universiti sebagai pemangkin ilmu dalam masyarakat.
Katanya, program itu berperanan mempromosikan UPMS sebagai institusi pendidikan tinggi di Sarawak yang mempunyai kepakaran dalam teknologi hijau dan kelestarian alam sekitar serta menggalakkan pelajar sekolah terus bersemangat menyambung pengajian ke peringkat universiti pada masa hadapan.
Seramai 20 pelajar UPMS sebagai ahli jawatankuasa dan fasilitator serta 60 pelajar Tingkatan 5 SMK Tatau menyertai program yang memberi pendedahan awal terhadap dunia akademik universiti serta aplikasi sains dalam konteks kehidupan sebenar berkaitan kelestarian alam sekitar tersebut.
Sesi perkongsian ilmu disampaikan oleh ChM Dr Azrul Nurfaiz Mohd Faizal berkenaan konsep kimia hijau dan kepentingannya dalam mengurangkan pencemaran serta aplikasi praktikal melalui penggunaan semula minyak masak terpakai.
Demonstrasi pembuatan sabun buku daripada minyak masak terpakai yang dikendalikan pelajar UPMS sebagai fasilitatornya antara usaha yang memberi pemahaman pembelajaran berasaskan pengalaman.
Selain itu, demonstrasi mengenai Reka Produk Kimia Hijau oleh Dr Azrul turut diadakan bagi menerapkan kemahiran pemikiran kritis, penyelesaian masalah dan komunikasi saintifik.
Peserta juga dikehendaki mereka bentuk idea produk yang mengintegrasikan elemen kimia hijau serta rasional kelestarian, sebelum membuat pembentangan ringkas secara berkumpulan di hadapan peserta lain bagi menilai kejelasan idea dan keyakinan penyampaian.
Date of Input: 26/03/2026 | lanz

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia