PENGACARAAN MAJLIS – ASAS PROFESIONALISME | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» PUTRABAKTI » PENGACARAAN MAJLIS – ASAS PROFESIONALISME

PENGACARAAN MAJLIS – ASAS PROFESIONALISME


Bintulu, 24 September 2024 – Jawatankuasa Pengacara Majlis Konvokesyen UPMKB dengan kerjasama Bahagian Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar (UPMKB) telah mengadakan Kursus Pengacaraan Majlis yang berlangsung selama dua (2) hari pada 19 hingga 20 September 2024 yang lalu di Bilik Latihan, Tingkat 4, Ruai Sri Cendana, Bangunan Pentadbiran (UPMKB). Seramai 15 orang staf UPMKB dari pelbagai entiti di UPMKB telah menyertai kursus tersebut.

Kursus yang dianjurkan merupakan salah satu inisiatif untuk meningkatkan kemahiran dan profesionalisme staf UPMKB dalam mengendalikan majlis rasmi terutamanya Majlis Konvokesyen yang akan diadakan pada setiap tahun di UPMKB. Di samping itu, kursus ini juga diharap mampu untuk memperkukuhkan keyakinan diri peserta dalam mengendalikan majlis rasmi di peringkat universiti mahupun dalam komuniti.

Kursus yang diadakan selama dua (2) hari tersebut telah dikendalikan oleh Puan Noraihan Noordin, Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UPM yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengacaraan majlis dan protokol rasmi. Sepanjang dua hari berkursus, para peserta didedahkan dengan pelbagai aspek pengacaraan majlis termasuk etika dan protokol majlis rasmi, teknik pengendalian majlis yang berkesan serta pengurusan cabaran yang mungkin berlaku dalam situasi majlis. Kursus ini bukan sahaja berbentuk teori, malah menekankan aspek latihan praktikal melalui simulasi pengacaraan majlis.

Penganjuran kursus ini adalah sebahagian daripada usaha UPMKB dalam memperkasa staf dengan pelbagai kemahiran profesional dan diharap kursus ini akan dijadikan sebagai platform penting dalam melahirkan lebih ramai pengacara majlis yang berwibawa dan berketerampilan dalam kalangan staf UPMKB.

Date of Input: 13/01/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/4:4:46:19~noCache