BINTULU, 15 Mac – Seramai 95 orang peserta telah menyertai Program Ceramah Teknologi Pertanian dan Smart Farming anjuran pelajar Diploma Kejuruteraan Teknologi Pertanian Semester 4, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) yang berlangsung secara dalam talian menerusi platform Microsoft Teams sabtu lalu.
Program yang merupakan sebahagian daripada aktiviti Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para peserta mengenai perkembangan terkini dalam bidang teknologi pertanian serta memperkenalkan konsep pertanian pintar (smart farming) yang semakin mendapat tempat dalam industri pertanian moden.
Menurut Pengarah Program, Nur Qistina Ardini Binti Mohd Najib, program ini diadakan bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pelajar serta masyarakat tentang kepentingan teknologi dalam memajukan sektor pertanian negara. Saya berbangga kerana rakan-rakan sekelas berjaya tampil berkongsi ilmu dan pengalaman masing-masing. Ini secara tidak langsung memberi ruang kepada pelajar untuk menonjolkan bakat kepimpinan serta kemahiran komunikasi, katanya.
Program ini turut mendapat bimbingan penuh daripada Penasihat Program, Ts. Dr. Nozieana Binti Khairuddin, yang sentiasa menyokong usaha pelajar dalam menjayakan aktiviti akademik berimpak tinggi. Menariknya, kedua-dua penceramah bagi ceramah ini merupakan pelajar DKTP04 sendiri, sekali gus membuktikan keupayaan dan kebolehan pelajar dalam menyampaikan ilmu kepada rakan-rakan serta warga kampus. Ceramah pertama bertajuk Kejuruteraan Teknologi Pertanian telah disampaikan Mohamad Alif Haikal Bin Azmy, manakala ceramah kedua bertajuk Smart Farming disampaikan oleh Muhammad Zulfiqri Bin Zulkipli.
Antara intipati menarik yang dikongsikan termasuklah aplikasi Internet of Things (IoT) dalam pertanian, penggunaan sistem automasi ladang, dan kaedah kejuruteraan moden dalam meningkatkan hasil serta kualiti tanaman. Program selama dua jam ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan para peserta turut aktif berinteraksi sepanjang sesi berlangsung.
Pihak penganjur berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi menyokong usaha negara ke arah pertanian berteknologi tinggi dan mampan.
Date of Input: 27/03/2025 | lanz
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia