BINTULU: Seramai 47 murid dan guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bagiau Tatau serta 20 anggota komuniti rumah panjang yang terdiri daripada ibu bapa murid telah menyertai program Akuaponik. Program ini menggabungkan sistem hidroponik (penanaman sayur) dan akuakultur (penternakan ikan).
Program ini dianjurkan melalui kerjasama antara SK Sungai Bagiau dan Kelab Agriaqua Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) Sarawak. Ia merangkumi sesi perkongsian ilmu dan demonstrasi tentang cara sistem akuaponik berfungsi.
Dr. Nora Faten Afifah Binti Mohamad, pensyarah kanan UPMKB, bertindak sebagai wakil penasihat program ini turut hadir sebagai penceramah utama. Pengarah program, Elisa Epah Anak Eju, menyatakan bahawa program Kelab Agriaqua di bawah penasihat kelab, Dr Tan Toh Hii ini bertujuan untuk berkongsi pengetahuan mengenai sistem akuaponik kepada warga SK Sungai Bagiau dan komuniti rumah panjang, yang mampu menghasilkan sayur-sayuran dan ikan secara serentak.
Encik David Anak Juing, 52, seorang anggota komuniti rumah panjang, menyatakan minatnya terhadap sistem akuaponik kerana beliau ingin memulakan projek penanaman sayur secara kecil-kecilan sambil menternak ikan. Selain itu, beliau juga berharap pihak UPMKB dapat menganjurkan program khas mengenai cara pembiakan ikan pada masa yang akan datang.
Guru Besar SK Sungai Bagiau, En. Muhammad Nur Farhan bin Abdullah, turut menyatakan rasa terima kasih atas kesudian para pelajar dan pensyarah UPMKB berkongsi ilmu, terutama dalam memanfaatkan tangki air yang tidak digunakan di sekolah sebagai alternatif untuk mengitar semula bahan terpakai melalui aktiviti inovatif dengan membina sistem akuaponik.
Pengisian program termasuk ceramah mengenai sistem akuaponik dan demonstrasi cara mengukur parameter kualiti air serta penyusunan sayur. Aktiviti latihan dalam kumpulan bersama murid juga dijalankan bagi memperkenalkan mereka kepada sistem akuaponik.
Guru Besar SKSB juga amat berharap program ini akan menjadi titik tolak bagi kerjasama yang lebih erat antara SK Sungai Bagiau dan UPMKB dalam melaksanakan pelbagai program pada masa hadapan.
Date of Input: 02/07/2024 | lanz
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia