PROGRAM DONT SKIP SAHUR MERIAHKAN SAMBUTAN RAMADAN DI KOLEJ SRI RAJANG | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» PUTRABAKTI » PROGRAM DONT SKIP SAHUR MERIAHKAN SAMBUTAN RAMADAN DI KOLEJ SRI RAJANG

PROGRAM DONT SKIP SAHUR MERIAHKAN SAMBUTAN RAMADAN DI KOLEJ SRI RAJANG

BINTULU, 7 Mac 2026 – Sekretariat Sukan dan Rekreasi, Majlis Perwakilan Kolej Sri Rajang (KSR), Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) sesi akademik 2025/2026 telah menganjurkan program Dont Skip Sahur yang telah berlangsung dari 23 Februari hingga 7 Mac 2026 bertempat di Kolej Sri Rajang, Universiti Putra Malaysia Sarawak. Program ini diketuai oleh Pengarah Program, Izzati binti Mohd Amri, dengan sokongan ahli jawatankuasa pelaksana serta bimbingan daripada Penasihat Program, Puan Azizah Abdul Manaf.

Saudari Izzati binti Mohd Amri, yang juga merupakan Pengarah Program Environment Fun Run 2025: Back to Nature, telah menyalurkan sebahagian daripada hasil penganjuran program tersebut bagi menyokong pelaksanaan Program Dont Skip Sahur 2026. Selain itu, program ini turut mendapat sokongan, kerjasama serta sumbangan daripada beberapa pihak luar, antaranya Tabung Baitulmal Sarawak, Small Shop dan Sajian Mas, yang telah banyak membantu dalam memastikan kelancaran serta kejayaan penganjuran program ini.

Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk menggalakkan mahasiswa dan mahasiswi mengamalkan pengambilan sahur secara konsisten sepanjang bulan Ramadan bagi mengekalkan tahap kesihatan, kecergasan dan tenaga semasa menjalani ibadah puasa dengan mengedarkan makanan secara percuma kepada pelajar sepanjang bulan Ramadan. Selain itu, program ini juga bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan warga Kolej Sri Rajang.

Kemuncak program yang berlangsung pada 7 Mac 2026 telah diserikan dengan kehadiran Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, YBhg. Dato Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Pengarah Kampus Universiti Putra Malaysia Sarawak, Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, serta Pengetua Kolej Sri Rajang, Dr. Tengku Sharifah Marliza Tengku Azmi bersama para mahasiswa dan mahasiswi Kolej Sri Rajang. Program ini turut menerima sumbangan 1,000 pack roti Gardenia daripada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UPM, YBhg. Prof. Dr. Arifin Abdu yang diagihkan kepada pelajar.

Antara pengisian utama program ialah sesi ceramah kesihatan mengenai kepentingan bersahur yang telah disampaikan oleh Dr. Muhammad Amru Bin Badrul Hisam Pegawai Perubatan Pusat Kesihatan (UPMS). Ceramah ini memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai kepentingan pengambilan sahur dalam mengekalkan tahap kesihatan, kecergasan fizikal serta membantu pelajar menjalani ibadah puasa dengan lebih baik.

Selain itu, sepanjang program berlangsung sebanyak 800 pack makanan sahur telah berjaya diedarkan kepada para pelajar Universiti Putra Malaysia Sarawak. Sebahagian daripada pack makanan yang disediakan juga turut diagihkan kepada beberapa agensi kerajaan dan swasta di sekitar Bintulu seperti Balai Bomba, Balai Polis Hospital dan Petronas station minyak mulai jam 12.00 malam hingga 2.30 pagi sebagai tanda keprihatinan serta usaha menyemarakkan semangat berkongsi rezeki dalam kalangan komuniti setempat.

Secara keseluruhannya, penganjuran program ini telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan, di samping memberi impak positif kepada mahasiswa dan mahasiswi dalam meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan bersahur, serta memupuk nilai kebersamaan, keprihatinan dan ukhuwah dalam kalangan warga kolej sepanjang bulan Ramadan.

Date of Input: 23/04/2026 | Updated: 23/04/2026 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
-
W, (12:12:16pm-12:17:16pm, 24 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]