PROGRAM PROTECT OUR PETS DAY DIDIK MASYARAKAT SAYANGI HAIWAN PELIHARAAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» PUTRABAKTI » PROGRAM PROTECT OUR PETS DAY DIDIK MASYARAKAT SAYANGI HAIWAN PELIHARAAN

PROGRAM PROTECT OUR PETS DAY DIDIK MASYARAKAT SAYANGI HAIWAN PELIHARAAN

BINTULU, 27 September 2025– Program Putra Bakti: Protect Our Pets Day anjuran pelajar-pelajar Kursus Ko-kurikulum Berkredit Bakti Siswa Kumpulan 2 Ambilan Diploma Semester Pertama Sesi 2025/2026 Universiti Putra Malaysia Kampus Sarawak (UPMS) dengan kerjasama Perpustakaan UPMS telah berlangsung meriah pada 27 dan 28 September lalu di Perpustakaan dan Klinik Veterinar UPMS.

Lebih 300 orang peserta dan pengunjung hadir memeriahkan program dua hari itu yang bertujuan menggalakkan sikap bertanggungjawab dalam pemeliharaan haiwan peliharaan melalui amalan vaksinasi, penjagaan kesihatan dan kawalan populasi haiwan liar.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang hari pertama, antaranya Program Imunisasi haiwan dan Vaksin Rabies, Aktiviti adopsi haiwan, Pertandingan Poster Digital, Pertandingan Fesyen Cosplay Kucing, Kuiz interaktif dan permainan. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menarik minat pengunjung, malah turut memberi pendidikan berterusan mengenai tanggungjawab sosial terhadap kesejahteraan haiwan.

Hari kedua pula diteruskan dengan aktiviti gotong-royong pembersihan di Klinik Veterinar UPMS, sebagai usaha menyemai nilai sukarelawan dan kepedulian terhadap kebersihan persekitaran haiwan. Seorang peserta, Hoshea Nyuring Sirik 18, berkata program itu memberi peluang kepada pelajar untuk memahami keperluan sebenar dalam penjagaan haiwan.

Saya seronok dapat turut serta dalam program ini. Selain dapat bermain dengan haiwan peliharaan, saya juga belajar tentang pentingnya vaksinasi rabies untuk melindungi manusia dan haiwan daripada penyakit berjangkit, katanya. Sementara itu, Pengarah program, Muhammad Farhan Khairul Fuad, menyatakan bahawa penganjuran ini bukan sekadar aktiviti ko-kurikulum, tetapi juga platform untuk membentuk keperibadian pelajar yang prihatin dan bertanggungjawab.

Program ini mengajar kami erti tanggungjawab sosial dan kasih sayang terhadap makhluk lain disamping membentuk kemahiran insaniah pelajar. Kami berharap ia dapat memberi kesedaran kepada masyarakat untuk lebih menjaga haiwan peliharaan mereka, ujarnya.

Penganjuran ini turut mendapat kerjasama erat daripada Klinik Veterinar UPMS, yang memainkan peranan penting dalam menjayakan aktiviti vaksinasi dan khidmat nasihat kesihatan haiwan. Program Putra Bakti: Protect Our Pets Day diharap dapat dijadikan contoh penganjuran aktiviti berimpak tinggi yang bukan sahaja menyeronokkan, malah mendidik serta memperkukuh nilai empati dan tanggungjawab dalam kalangan pelajar.


Date of Input: 05/11/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
-
S, (07:42:38pm-07:47:38pm, 09 Mar 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]