PROGRAM STEM@JSTEK DAN PROMOSI AKADEMIK FKPS 2026 DI SMK BINTULU | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» PUTRABAKTI » PROGRAM STEM@JSTEK DAN PROMOSI AKADEMIK FKPS 2026 DI SMK BINTULU

PROGRAM STEM@JSTEK DAN PROMOSI AKADEMIK FKPS 2026 DI SMK BINTULU

Bintulu, 1 Julai 2026 – Seramai lebih 100 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintulu telah menyertai Program STEM@JSTEK dan Promosi Program Akademik Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains (FKPS) yang dianjurkan oleh Jabatan Sains dan Teknologi, Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains (FKPS), Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS).

Program yang berlangsung pada 1 Julai 2026 ini bertujuan memberikan pendedahan awal kepada pelajar mengenai kepentingan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), di samping memperkasakan minat mereka terhadap bidang tersebut melalui pelbagai aktiviti pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan. Selain itu, program ini turut menjadi platform untuk mempromosikan program-program akademik yang ditawarkan di UPMS, khususnya kursus-kursus di bawah Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains.

Program tersebut dipengerusikan oleh Dr. Nurr Maria Ulfa Binti Seruji, Pensyarah Kanan, Jabatan Sains dan Teknologi, dengan penglibatan seramai 32 orang wakil UPMS yang terdiri daripada Timbalan Dekan Akademik FKPS, Dr. Juniza Binti Md. Saad, pensyarah-pensyarah kanan, staf pelaksana serta pelajar Bacelor Sains Kimia Perindustrian yang berperanan sebagai fasilitator sepanjang pelaksanaan aktiviti STEM. Pelbagai aktiviti berasaskan STEM telah dijalankan bagi memberi pengalaman pembelajaran secara hands-on kepada para pelajar.

Aktiviti-aktiviti tersebut bukan sahaja berjaya meningkatkan kefahaman pelajar terhadap konsep sains, malah turut menggalakkan pemikiran kritis, kreativiti, penyelesaian masalah serta semangat bekerja secara berpasukan. Dalam sesi promosi akademik pula, para pelajar telah diberi penerangan mengenai laluan pengajian ke institusi pengajian tinggi, syarat kemasukan serta peluang kerjaya yang berkaitan dengan program-program yang ditawarkan oleh FKPS. Pendedahan ini diharap dapat membantu pelajar membuat perancangan akademik dan kerjaya yang lebih jelas selepas menamatkan persekolahan.

Program ini turut mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pihak sekolah dan para pelajar. Kerjasama erat antara pihak UPMS dan SMK Bintulu dilihat mampu memperkukuhkan usaha melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, berkemahiran serta bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 dan perkembangan teknologi masa hadapan.

Penganjuran Program STEM@JSTEK dan Promosi Program Akademik FKPS ini mencerminkan komitmen Universiti Putra Malaysia Sarawak dalam memperluas jaringan kerjasama dengan institusi pendidikan, di samping menyokong aspirasi negara untuk meningkatkan penyertaan pelajar dalam bidang STEM serta melahirkan modal insan yang berkualiti dan berdaya saing.

Date of Input: 10/07/2026 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (11:14:46am-11:19:46am, 13 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]