BINTULU: Usaha berterusan dilakukan untuk menyemai minat murid-murid di sekolah rendah dalam pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui penganjuran program STEM Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) 1003 di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tisang di sini, pada Khamis.
Seramai 71 murid sekolah terbabit menyertai program itu yang berlangsung dua hari pada 27 hingga 28 Januari lepas anjuran Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Pengarah program Dr Aaliyawani Ezzerin Sinin berkata, program tersebut bertujuan memupuk minat murid terhadap bidang STEM melalui pembelajaran interaktif dan praktikal.
Katanya, ia merupakan sebahagian daripada inisiatif bersepadu yang menggalakkan penglibatan 100 saintis tempatan bersama 100 sekolah dalam tempoh 100 hari bagi setiap kitaran pelaksanaan.
Ia diharap dapat merapatkan jurang antara komuniti saintifik dan pelajar sekolah, ujarnya.
Beliau berkata, sepanjang program itu, murid terlibat secara langsung dalam pelbagai aktiviti sebenar seperti cabaran kejuruteraan Hydro-Excavator, Torso Quest dan MicroWorld.
Para peserta meneroka konsep matematik dalam Pengembaraan Galaksi Matematik, pemikiran Pengkomputeran menggunakan manik dan permainan Pemecah Kod, katanya.
Jelasnya, mereka turut menjalankan eksperimen kimia dalam aktiviti pH Spy Mission dan Candle Quest.
Katanya, keterujaan peserta diteruskan dengan aktiviti Roket Gas dan Gunung Berapi Berwarna termasuk berpeluang mengendalikan dron menerusi SkyPilot Drone Challenge dan paling digemari adalah membina robot ringkas dalam Build-A-Bot Challenge.
Menurutnya, pendekatan pembelajaran secara amali membantu murid memahami konsep sains dengan lebih mudah serta meningkatkan keyakinan mereka untuk meneroka bidang STEM.
Program seperti ini penting dalam usaha menyemai minat terhadap STEM sejak usia muda selaras dengan keperluan negara melahirkan lebih ramai generasi celik teknologi dan inovasi pada masa depan, katanya.
Tambahnya, program ini mencerminkan komitmen UPMS, MOSTI dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memperkasa pendidikan STEM di peringkat sekolah khususnya sekolah-sekolah di kawasan pinggir dan luar bandar agar jurangnya dapat dirapatkan membabitkan pendedahan bidang teknologi.
Date of Input: 26/03/2026 | lanz

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia