11 Februari 2026 – Mahasiswa Diploma Perikanan daripada Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan (FSPH), Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) telah menganjurkan program khidmat masyarakat SULAM bertajuk Little Marine Heroes. Program ini merupakan inisiatif pelajar kursus CES2241 Pengembangan Pertanian yang dijalankan di Tadika Al-Baghdadi, Bintulu.
Program ini mendapat bimbingan dan sokongan penuh daripada Dr. Hadi Bin Hamli, selaku Penasihat Program dan Pensyarah Kanan bagi kursus tersebut dari Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan. Menurut beliau, pendedahan awal kepada kanak-kanak mengenai hidupan laut dan kepentingan sektor perikanan adalah sangat penting bagi memupuk kesedaran serta rasa tanggungjawab terhadap pemeliharaan sumber marin sejak kecil.
Seramai 16 orang ahli jawatankuasa pelaksana yang diketuai oleh pengarah program, Ilham Arifah Binti Muhamad Fadzli, telah menyantuni 62 orang peserta cilik pada hari kejadian. Antara objektif utama program ini adalah untuk mengaplikasikan aspek teori dan praktikal yang telah dipelajari di fakulti ke dalam tugasan lapangan secara kritis.
Program dimulakan dengan aktiviti Mr. Crab Say dan Titi Ceria yang memfokuskan kepada latihan kemahiran motor, pendengaran, serta kerjasama berpasukan melalui simulasi pergerakan ikan dan penggunaan media kertas warna. Peserta cilik ini kemudiannya diasah daya berfikir melalui slot AquaBrain Heroes untuk menguji daya ingatan dalam mengenal pasti serta mengeja nama spesies ikan seperti tilapia, siakap, dan keli.
Program ini diakhiri dengan majlis penutup dan penyampaian beg hadiah kepada semua peserta hasil sumbangan Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan (JSHP), UPMS. Kejayaan program ini mencerminkan komitmen Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir dalam bidang akademik, malah proaktif dalam memberi sumbangan kepada masyarakat.
Date of Input: 30/03/2026 | lanz

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia