SARAWAK BAKAL JADI TUMPUAN SERANTAU MELALUI BIIS 2025 | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» PUTRABAKTI » SARAWAK BAKAL JADI TUMPUAN SERANTAU MELALUI BIIS 2025

SARAWAK BAKAL JADI TUMPUAN SERANTAU MELALUI BIIS 2025

PETRA JAYA, 21 Julai 2025 - Kerajaan Sarawak terus melakar sejarah apabila bakal menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak Integriti Antarabangsa Borneo (Borneo International Integrity Summit - BIIS) 2025, yang dijadual berlangsung pada 29 hingga 30 Julai ini.

Sidang berprestij yang menghimpunkan lebih 1,000 peserta dari seluruh Borneo termasuk Sabah, Brunei, Kalimantan dan Filipina ini dijangka menjadi medan strategik penting dalam usaha memperkukuh nilai integriti dan tadbir urus dalam kalangan pemimpin muda rantau ini.

Menjelang penganjuran BIIS 2025, satu perjumpaan rasmi bersama YAB Premier Sarawak telah diadakan hari ini bertempat di Tingkat 22, Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya. Perjumpaan tersebut diketuai oleh YB Dato Murshid DiRaja Dr. Juanda Jaya, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), bersama Encik Wan Mohamad bin Wan Drahman, Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), serta Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, Pengarah Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS).

Antara agenda utama perjumpaan tersebut adalah membincangkan pelaksanaan menyeluruh Sidang Kemuncak BIIS 2025, termasuk penyampaian jemputan rasmi kepada YAB Premier Sarawak sebagai tetamu kenamaan (VVIP) serta perasmi sidang kemuncak berkenaan.

Selain itu, perjumpaan turut membincangkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Sarawak yang diwakili UNIONS bersama rakan kolaboratif seperti UPM, KUUB, PEHEIC dan CEISCU, sebagai usaha memperkukuh jaringan integriti serantau.

Menurut YB Dr. Juanda, BIIS 2025 bukan sekadar seminar, tetapi merupakan platform strategik membina generasi baharu kepimpinan berintegriti tinggi.

BIIS 2025 bakal menjadi mercu tanda baharu dalam usaha memperkukuh budaya integriti dan tadbir urus yang berkesan di peringkat serantau. Ia adalah inisiatif besar untuk menjadikan Borneo sebagai hab kepimpinan berintegriti di Asia Tenggara, katanya.

Sementara itu, Pengarah UPMS, Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini menyifatkan BIIS 2025 sebagai langkah berani dan progresif dalam memajukan jaringan pendidikan dan kepimpinan.

Penyertaan 16 institusi pengajian tinggi awam dan swasta dari seluruh Borneo membuktikan komitmen kolektif dalam memartabatkan nilai integriti sebagai teras kepimpinan masa hadapan. Ini merupakan sidang kemuncak antarabangsa pertama seumpamanya di rantau ini, ujar beliau.

Dengan penyertaan meluas, kerjasama strategik pelbagai pihak dan sokongan penuh Kerajaan Sarawak, BIIS 2025 dijangka menjadi pemangkin gelombang baharu kepimpinan berintegriti, meletakkan Sarawak di hadapan dalam mempromosi budaya integriti pada skala serantau dan global.

Date of Input: 28/07/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W, (09:58:46pm-10:03:46pm, 31 Jul 2025)   [*LIVETIMESTAMP*]