TEGAS PERKASA BELIA DALAM AI DAN KEPIMPINAN DIGITAL | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» PUTRABAKTI » TEGAS PERKASA BELIA DALAM AI DAN KEPIMPINAN DIGITAL

TEGAS PERKASA BELIA DALAM AI DAN KEPIMPINAN DIGITAL

KUCHING: Seramai 247 belia dari dalam dan luar negara berhimpun dalam usaha memperkasakan kemahiran kecerdasan buatan (AI) dan kepimpinan digital menerusi Program International Putra Bakti YLE–KUUB @ Youth Digital 2.0: AI4Youth – Future Leaders Training Series 2026 yang diadakan di TEGAS Digital Innovation Hub Bintulu, hari ini.

Menurut kenyataan TEGAS semalam, program dua hari itu dianjurkan dengan tema Empower, Innovate, Lead sebuah inisiatif yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat belia melalui literasi digital, asas AI, pemikiran keusahawanan serta kemahiran komunikasi dan pemikiran kritikal selaras dengan keperluan pasaran kerja yang semakin mencabar dan aspirasi ekonomi digital Sarawak.

Penyertaan program secara hibrid itu melibatkan pelajar dan belia daripada Universiti Putra Malaysia Sarawak, Universiti Putra Malaysia, ADTEC Bintulu, Universiti Teknologi MARA Sarawak, Universiti Teknologi MARA Sabah, Universiti Kuala Lumpur, TVVET Bintulu, MRSM Bintulu serta universiti dari Indonesia dan Brunei, kata kenyataan tersebut.

Penyertaan meluas berkenaan jelas mencerminkan jaringan kolaboratif serantau dalam melahirkan pemimpin muda yang celik teknologi, berdaya saing dan bersedia memimpin era digital.

Antara sorotan utama program itu adalah latihan kepimpinan berimpak tinggi berteraskan penyelesaian masalah sebenar, pendedahan praktikal asas AI dan teknologi pintar, pengukuhan literasi digital serta penggunaan teknologi secara beretika, tambahnya.

Selain itu, peserta turut didedahkan kepada pembangunan minda keusahawanan digital, bengkel komunikasi berkesan dan pemikiran kritikal, di samping platform jaringan belia serantau menerusi pendekatan hibrid.

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Smart Partnership antara Universiti Putra Malaysia Sarawak dan TEGAS melalui platform Youth Leadership and Entrepreneurship (YLE UPMS), dengan TEGAS bertindak sebagai penaja utama.

Kerjasama strategik tersebut melibatkan komuniti akademia, industri, agensi kerajaan serta pakar tempatan dan antarabangsa dalam memperkasa ekonomi digital, e-keusahawanan, pendidikan dan pembangunan sosial, tambah pihaknya kemudian.

Sebagai hab pembangunan digital negeri, TEGAS Digital Innovation Hub Bintulu menyediakan ruang kondusif untuk penganjuran bengkel, program inovasi, latihan industri, aktiviti keusahawanan dan kesukarelawanan.

Inisiatif itu turut menyokong peranan UPMS sebagai hab pengajian tinggi bertaraf antarabangsa di rantau Borneo dan Asia Tenggara membuka peluang kepada pelajar memanfaatkan kemudahan digital berimpak tinggi.

Orang ramai khususnya golongan belia digalakkan mengikuti program pembangunan bakat digital anjuran TEGAS melalui laman web rasmi dan saluran media sosialnya bagi mendapatkan maklumat terkini serta peluang penyertaan.

Tarikh Input: 30/03/2026 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
-
W, (12:09:11am-12:14:11am, 23 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]