TOUR DE OCEAN: UPMKB PERKASA KESEDARAN PEMULIHARAAN LAUT | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» PUTRABAKTI » TOUR DE OCEAN: UPMKB PERKASA KESEDARAN PEMULIHARAAN LAUT

TOUR DE OCEAN: UPMKB PERKASA KESEDARAN PEMULIHARAAN LAUT


BINTULU, 23 Februari – Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) melalui Kelab Sains Perikanan dan Haiwan (KESPH) telah menganjurkan Tour De Ocean, satu inisiatif untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemuliharaan laut.

Seramai 66 peserta terdiri daripada pelajar UPMKB, Universitas Airlangga Indonesia, pensyarah, dan staf Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan (JSHP) telah mengambil bahagian. Antara aktiviti utama yang dijalankan ialah pembersihan pantai di Pantai Tanjung Batu, ceramah kesedaran oleh Jabatan Laut Malaysia dan pensyarah JSHP, serta sesi Movie Night bertemakan lautan.

Menurut Pengarah Program, Cheeng Mu Lan, program ini perlu diperluaskan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pemeliharaan ekosistem marin. Dua penceramah jemputan turut berkongsi maklumat berkaitan keselamatan di kawasan marin. Penolong Pengarah Jabatan Laut Bintulu, Encik Muhamad Fadzley bin Abdul Hamid, menerangkan tentang bahaya tumpahan minyak terhadap ekosistem laut, manakala Pensyarah Kanan JSHP, Ts. Dr. Tan Toh Hii, membincangkan isu Harmful Algae Blooms (HABs) serta langkah pencegahan dan rawatan bagi mengurangkan kesan negatifnya.

Penasihat Bersama program, Dr. Wan Zabidii Bin Wan Morni, menegaskan kepentingan menjalankan program seperti ini untuk memelihara biodiversiti marin dan sumber alam negara. Sementara itu, Prof. Madya Dr. Juriah Kamaludeen, selaku Penasihat Kelab KESPH, mencadangkan agar program ini dijadikan sebagai inisiatif Corporate Social Responsibility (CSR) tahunan bagi memberi pendedahan kepada pelajar tentang tanggungjawab sosial terhadap alam sekitar.

Program ini turut menerima tajaan hamper, yang menjadi galakan kepada para peserta untuk terus mengambil bahagian dalam aktiviti pemuliharaan alam sekitar dan pemeliharaan ekosistem marin. Dengan kejayaan Tour De Ocean, UPMKB terus komited dalam menerajui usaha kesedaran dan konservasi alam sekitar.

Date of Input: 11/03/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/5:17:46:40~noCache