Dari Meja Pengarah Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK sarawak
» MENGENAI UPMS » Dari Meja Pengarah Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS)

Dari Meja Pengarah Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS)

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum W.B.T. dan selamat datang ke laman web rasmi Universiti Putra Malaysia Sarawak.

Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) merupakan universiti tertua di Malaysia Timur, ditubuhkan sejak tahun 1974 mulanya sebagai Institut Pertanian Semenggok, Kuching. Pada tahun 1987, UPMS secara rasminya telah berpindah ke Bintulu, Sarawak sehingga kini. UPMS telah mengalami pelbagai transformasi, sejajar dengan keperluan pendidikan negara, negeri Sarawak dan rantau Borneo. Bermula dengan hanya menawarkan 2 program Diploma, UPMS kini berkembang dengan menawarkan 10 program Diploma, 4 program Bacelor, dan 51 bidang kepakaran bagi program Master dan PhD. secara penyelidikan. Selain itu, UPMKB juga turut menawarkan program Persediaan Diploma bagi pelajar yang tercicir dari sistem arus perdana pengajian tinggi.

UPMS merupakan satu-satunya Universiti Penyelidikan di Malaysia Timur seiring dengan kampus induk di Serdang. Pelbagai usaha telah dan sedang digembleng untuk menjadikan UPMKB sebagai kampus bertaraf antarabangsa. Bagi memperkukuhkan peranan UPMS sebagai hub penyelidikan dan pendidikan, 3 buah entiti baharu telah ditubuhkan pada tahun 2020. Institut Ekosistem Borneo Sains (IEB) telah ditubuhkan untuk menerokai penyelidikan bermanfaat terutamanya dalam bidang pertanian dan perhutanan. Disamping 2 buah fakulti baharu iaitu Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan (FSPH) dan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains (FKPS) telah ditubuhkan pada tahun ini bagi menyokong usaha perekayasaan UPMS.

Bagi memantapkan pembangunan dan pentadbiran yang cemerlang, pelan strategi UPMS 2019 – 2023 telah dibangunkan mensasarkan kepada 5 tujahan utama UPMS iaitu, Pertanian; Perhutanan; Tenaga Diperbaharui; Kimia Industri dan; Ekonomi Sosial. Bidang tujahan ini adalah sejajar dengan permintaan dan jangkaan industri dalam mendapatkan tenaga kerja yang berkualiti, dimana UPMS mampu melahirkan graduan yang mempunyai kualiti dan kebolehpasaran yang tinggi.

Seiring dengan motto UPMS, "Berilmu Berbakti" kami amat teruja untuk menyumbang kepakaran yang ada melalui jaringan industri dan masyarakat. Seluruh warga UPMS bergiat aktif dalam program berimpak tinggi, pembangunan komuniti dan pemindahan teknologi serta aktiviti khidmat masyarakat. Hal ini kerana, kami percaya penerapan ilmu yang seimbang akan menghasilkan kemajuan yang signifikan, baik untuk UPMS dan masyarakat sekitarnya.

Keindahan kampus yang menghijau dan tenang adalah salah satu daya penarik untuk persekitaraan pengajaran dan pembelajaran kondusif, yang ada UPMS. Melalui keseimbangan akademik dan aktiviti kokurikulum yang ditawarkan dalam suasana pembelajaran yang tenang, kami percaya mahasiswa dan graduan UPMS mampu menjadi insan yang bersedia dalam menghadapi cabaran masa depan.

Akhir kata, kami di UPMS amat mengalu-alukan kedatangan anda; para pelajar, pensyarah, penyelidik, mahupun pihak yang ingin menjadi rakan strategik UPMS yang berkongsi nilai yang sama demi menghasilkan output yang berkualiti sekaligus berbakti kepada masyakarat sejagat.

Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini
Pengarah 
Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS)
97008 Bintulu Sarawak
Tel: +6086855202
Faks: +6086855888
Emel: director.upms@upm.edu.my

 

Kemaskini:: 23/06/2026 [lanz]

PERKONGSIAN MEDIA

X, (02:43:32am-02:48:32am, 17 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]