BULI ISU KEMANUSIAAN PERLU DITANGANI BERSAMA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» ARTICLE » BULI ISU KEMANUSIAAN PERLU DITANGANI BERSAMA

BULI ISU KEMANUSIAAN PERLU DITANGANI BERSAMA

 


Para pelajar dan mahasiswa UPMS yang menyertai program merakam gambar bersama Mohamad Syukri dan Mohd Khaidir (duduk tengah).

"Menyedari hakikat ini, UPMS melalui pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit QKK2101 Bakti Siswa (Kumpulan 1) UPMS dan Sekolah Kebangsaan (SK) Baru Bintulu telah menganjurkan Program Putra Bakti: Satu Suara Tolak Buli 2025."

Mohamad Syukri Mohamad Adnan
Ketua Pentadbir Pejabat Pengurusan Pelajar UPMS

BINTULU: Buli bukan hanya melibatkan masalah disiplin tetapi isu kemanusiaan yang perlu ditangani bersama oleh seluruh masyarakat dalam mendidik pelajar di peringkat awal persekolahan.

Ketua Pentadbir Pejabat Pengurusan Pelajar Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) Mohamad Syukri Mohamad Adnan berkata, komuniti kampus dan sekolah harus menjadi barisan hadapan dalam membina budaya empati dan keberanian untuk menolak penindasan.

Katanya, isu buli semakin menjadi kebimbangan global kerana tidak hanya berlaku secara fizikal, malah turut menular ke ruang siber yang mencabar keselamatan emosi generasi muda.

"Menyedari hakikat ini, UPMS melalui pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit QKK2101 Bakti Siswa (Kumpulan 1) UPMS dan Sekolah Kebangsaan (SK) Baru Bintulu telah menganjurkan Program Putra Bakti: Satu Suara Tolak Buli 2025," ujarnya ketika berucap pada perasmian penutupan program tersebut pada Ahad lepas.

Program tersebut disertai 100 pelajar dari dua sekolah iaitu SK Kampung Baru dan SK Orang Kaya Mohammad.

Menurutnya, penglibatan aktif para pelajar dalam program itu jelas mencerminkan kesungguhan pihak sekolah dalam menyahut usaha membina persekitaran pembelajaran yang lebih selamat, harmoni dan bebas daripada amalan buli.

Beliau berkata, program itu turut digerakkan dengan matlamat untuk mendidik, menyedar serta menggerakkan komuniti dalam menangani isu buli secara proaktif melalui pengisian berfokus kepada pencegahan, pengurusan emosi dan komunikasi berkesan.

Sementara itu, Guru Besar Mohd Khaidir Mohd Arebi berkata, kesedaran tentang isu buli tidak boleh terhenti pada program itu sahaja.

Katanya, ia mesti menjadi amalan berterusan dalam mendidik anak-anak agar lebih berani menolak, melaporkan dan menghentikan buli.

Fasilitator program Roslan Ismail pula berkata, isu buli bukan sekadar masalah individu, tetapi ancaman kepada kesejahteraan sosial.

"Melalui program ini, mahasiswa UPMS bukan sahaja menyalurkan ilmu dan kesedaran kepada masyarakat, malah turut menggilap nilai empati, keberanian dan tanggungjawab sosial dalam diri mereka," tambahnya.

Katanya, ini adalah suara mahasiswa untuk masyarakat sebagai 'Satu Suara Tolak Buli'.

Bagi pengarah programnya Muhammad Nur Iman Aminuddin berkata, program itu merupakan kempen kesedaran yang menjadi satu gerakan kecil daripada mahasiswa untuk komuniti.

"Kami mahu setiap pelajar berani berkata tidak kepada buli, menghormati perbezaan dan berempati sesama insan.

"Dengan suara yang bersatu akan mampu membina suasana pembelajaran yang lebih selamat dan harmoni," tegasnya.

Terdahulu beberapa slot ceramah yang mengupas beberapa tajuk telah disampaikan, antaranya 'Henti Buli, Sebar Empati' oleh Dr Chan Siaw Leng diikuti 'Henti Buli! Di Dunia Nyata dan Dunia Maya' oleh Dr Nurul Nadwa Zulkifli manakala Dr Juniza Md Saad menyentuh topik 'Berani Jadi Kawan, Bukan Pembuli' dan Dr Ellie Teo Yi Lih dengan 'Champion On The Field, Not In Bullying'.

Dr Omar Faruqi Marzuki pula membincangkan topik 'Daripada Pemerhati Kepada Pembela: Langkah Setiap Pelajar Untuk Menghentikan Buli' serta slot khas daripada pegawai polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu Inspektor Syafiqah yang membicarakan tajuk 'Jaga Diri, Sayangi Diri'.

Program turut disemarakkan dengan ikrar 'Satu Suara Tolak Buli', tayangan video kesedaran bertajuk 'Aku Juga Manusia', Pertandingan Mewarna (HUE-TOPIA) yang menggalakkan ikatan kekeluargaan serta aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) menekankan nilai empati, hormat-menghormati dan keberanian menolak penindasan.

Turut diadakan adalah gimik perasmian bertemakan 'Pertanian untuk Rakyat' yang melambangkan aspirasi UPMS dalam memperkukuh identiti sebagai universiti pertanian untuk komuniti.

Date of Input: 16/10/2025 | Updated: 16/10/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W, (12:46:22am-12:51:22am, 17 Oct 2025)   [*LIVETIMESTAMP*]