SUARA UPMS BERGEMA DI PENTAS INTEGRITI, RANGKUL TEMPAT KETIGA PIALA PREMIER SARAWAK 2026 | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK sarawak
» ARTICLE » SUARA UPMS BERGEMA DI PENTAS INTEGRITI, RANGKUL TEMPAT KETIGA PIALA PREMIER SARAWAK 2026

SUARA UPMS BERGEMA DI PENTAS INTEGRITI, RANGKUL TEMPAT KETIGA PIALA PREMIER SARAWAK 2026

KUCHING, 12 Ogos 2026 - Daripada keberanian menyusun kata dan keteguhan mempertahankan prinsip, lahir sebuah kejayaan yang membanggakan. Pasukan Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) merangkul Tempat Ketiga Debat Integriti Piala Premier Sarawak 2026, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, plak kemenangan dan sijil pengiktirafan dalam majlis penyampaian hadiah bersempena Hari Integriti Sarawak di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK).
 
Sepanjang tiga hari, dari 10 hingga 12 Ogos 2026, Kuching menjadi medan pertemuan 16 pasukan daripada institusi pengajian tinggi di seluruh Sarawak. Pertandingan ini dianjurkan oleh Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak, Jabatan Premier Sarawak dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, menyaksikan setiap pasukan tampil mengadu ketajaman fikiran, kekuatan hujah dan kematangan bicara.
 
Dalam perjalanan menuju podium, UPMS mengharungi empat perlawanan dan mengukir tiga kemenangan. Langkah tersebut disempurnakan dengan menewaskan IPG Kampus Batu Lintang dalam perlawanan penentuan Tempat Ketiga di Ranyai Ballroom, The Waterfront Hotel, Kuching, menerusi usul, “Penyebaran kandungan palsu tulen mengancam integriti maklumat.”
 
Barisan UPMS terdiri daripada Hannes Noorhazwyn binti Hairul Hafiz (Ketua Pembangkang), Muhammad Afiq bin Che Azman (Timbalan Ketua Pembangkang), Virgil Constantine Chai (Pembangkang Ketiga) dan Beathrice Dyna anak Sendar (pendebat simpanan).
 
Kejayaan ini bukan sekadar mengangkat UPMS ke podium, malah membuktikan bahawa suara mahasiswa yang dipandu ilmu, disulam keberanian dan berteraskan integriti mampu meninggalkan gema yang bermakna.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Date of Input: 02/09/2026 | Updated: 02/09/2026 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (05:01:50am-05:06:50am, 23 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]