
BINTULU: Sarawak berada di landasan kukuh untuk muncul sebagai hab agro makanan mampan serantau menerusi pembangunan pertanian moden berteraskan teknologi hijau, inovasi dan pemeliharaan biodiversiti, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, Kongres Pertanian Mampan dan Keselamatan Makanan 2026 (COSAFS) menjadi platform penting menghimpunkan pakar, penyelidik, ahli akademik dan pemain industri dari seluruh dunia bagi berkongsi idea, pengalaman serta teknologi terkini ke arah mengukuhkan sektor pertanian yang lebih mampan dan berdaya saing.
"Saya berbesar hati dapat bersama-sama merasmikan COSAFS2026 dan tahniah kepada Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) yang berjaya menganjurkan persidangan bertaraf antarabangsa ini," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan COSAFS2026 di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Abang Johari pada masa sama turut mengalu-alukan kehadiran delegasi dari Hong Kong, Kanada, Singapura, Jepun, Amerika Syarikat, Australia serta beberapa negara lain ke Bintulu bagi menjayakan kongres berkenaan.
Menurutnya, pemilihan Bintulu sebagai lokasi penganjuran amat bertepatan kerana bandar itu bukan sahaja dikenali sebagai hab pembangunan industri bertaraf dunia, malah sedang berkembang sebagai pusat pembangunan sektor pertanian yang disokong oleh inisiatif tenaga hijau.
"Bintulu telah dikenali di peringkat dunia sebagai pusat pembangunan industri dan pada masa yang sama kita turut memberikan penekanan kepada pembangunan sektor pertanian yang berasaskan tenaga hijau.
"Persekitaran ini menyediakan platform terbaik untuk bertukar idea, pengalaman dan inovasi ke arah pertanian yang lebih mampan," katanya.
Beliau berkata, dunia kini berdepan pelbagai cabaran termasuk perubahan iklim, kekurangan sumber, ketidaktentuan geopolitik, kehilangan biodiversiti dan perubahan corak permintaan pengguna yang memberi kesan langsung kepada sekuriti makanan.
Justeru katanya, sektor pertanian perlu ditransformasikan menjadi industri moden yang memanfaatkan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), bioteknologi, automasi, pertanian terperinci, transformasi digital dan penggunaan tenaga diperbaharui.
Bagi Sarawak katanya, pertanian bukan sekadar menghasilkan makanan, sebaliknya menjadi asas kepada jaminan sekuriti makanan, mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti, meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar serta melindungi biodiversiti demi kesejahteraan generasi akan datang.
Di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) jelas beliau, sekuriti makanan telah dikenal pasti sebagai antara keutamaan negeri dalam usaha mentransformasikan sektor pertanian kepada industri moden, berteknologi tinggi dan berpendapatan tinggi.
"Transformasi pertanian bukan sekadar meningkatkan hasil pengeluaran, tetapi memastikan pembangunan dilaksanakan secara mampan dengan memelihara hutan, melindungi biodiversiti, mengurus sumber air secara bertanggungjawab dan menjamin keperluan generasi masa depan," katanya.
Beliau turut memuji peranan UPMS dalam menerajui penyelidikan, inovasi dan pembangunan modal insan, sambil berharap COSAFS2026 terus menjadi platform mengukuhkan kerjasama antara akademik, industri, kerajaan dan komuniti bagi membentuk sistem makanan yang lebih berdaya tahan serta memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai peneraju kecemerlangan pertanian di rantau ini.
Hadir sama Menteri Industri Makanan Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan Naib Canselor UPM Profesor Dato Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah.
Date of Input: 17/08/2026 | Updated: 17/08/2026 | lanz

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia