KEPERLUAN MENDESAK TINGKAT PERKHIDMATAN VETERINAR | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» ARTICLE » KEPERLUAN MENDESAK TINGKAT PERKHIDMATAN VETERINAR

KEPERLUAN MENDESAK TINGKAT PERKHIDMATAN VETERINAR

BINTULU: Kerajaan Sarawak dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) merancang menubuhkan Fakulti Perkhidmatan Veterinar dan Sains Haiwan, kata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena berkata, mesyuarat telah diadakan dengan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) yang diketuai Dato Sri Roland Sagah Wee Inn dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM Prof Dr Ismi Arif Ismail di sini, hari ini.

"Perbincangan mengenainya tertumpu kepada keperluan mendesak bagi meningkatkan perkhidmatan veterinar di Sarawak, sekali gus membantu dalam memperkasa pembangunan ternakan dan pertanian di rantau ini," ujarnya.

Dr Rundi berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri taklimat berkaitan cadangan penubuhan Fakulti Veterinar UPM Sarawak di Hotel New World Suites di sini.

"Kami kini menghadapi kekurangan tenaga kerja di negeri ini yang mana kesungguhan UPM bagi menubuhkan fakulti ini sememangnya membantu bagi memudahkan kerajaan menjalankan kerja-kerja berkaitan perkhidmatan veterinar," ujarnya.

Beliau pada masa sama berkata, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang merupakan Canselor UPM telah menyatakan minat untuk menubuhkan Fakulti Perkhidmatan Veterinar di Sarawak semasa istiadat Konvokesyen UPM Ke-46 pada 2022.

Menurutnya, UPM Kampus Serdang yang diiktiraf bagi menjalankan program veterinar merupakan salah satu daripada dua universiti di Malaysia yang menawarkan kursus sedemikian selain UPM Kampus Kelantan.

"Justeru, kerjasama antara kedua-dua belah pihak ini antara lainnya bertujuan mempercepat kapasiti dan keupayaan perkhidmatan veterinar di Sarawak, dengan MEITD sebagai penerajunya," kata Dr Rundi.

Dalam perkembangan berkaitan, Sagah menekankan bahawa inisiatif sedemikian diminta Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berikutan bilangan doktor haiwan yang tidak mencukupi disebabkan pengambilan pelajar yang terhad untuk kursus veterinar di Sarawak.

"Kerajaan Sarawak amat bertuah kerana UPM sudi bekerjasama dengan kami bukan sahaja kerana mereka mempunyai kampus cawangan di Bintulu tetapi universiti terbabit menawarkan kursus berkaitan sains haiwan veterinar," katanya.

Beliau menambah bahawa pusat terbabit akan menjadi fakulti veterinar ketiga di Malaysia dan satu-satunya di Borneo yang diharapkan dapat menarik pelajar dari negara lain di rantau ini.

Pada masa ini, Sarawak hanya mempunyai 15 doktor haiwan kerajaan daripada seramai 98 doktor haiwan yang termasuk pengamal swasta.

Date of Input: 25/07/2024 | Updated: 25/07/2024 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/5:21:50:16~noCache