BINTULU: Universiti Pertanian Tokyo akan bekerjasama dengan beberapa penyelidik Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) dalam bidang penyelidikan yang mampu menyumbang kepada kemajuan saintifik serta penyelesaian praktikal terhadap cabaran semasa membabitkan alam sekitar dan pertanian.
“Komitmen bersama antara UPMS dan rakanrakan dari Jepun ini juga mampu menyerlah dalam memajukan kecemerlangan penyelidikan serta memupuk kerjasama jangka ” panjang.
Pengarah Institut Ekosains Borneo UPMS Dr Syeed Saifulazry Osman Al Edrus berkata, ia contoh jelas bagaimana kerjasama akademik yang berterusan mampu diterjemahkan kepada hasil yang berimpak dalam bidang penyelidikan, inovasi dan penglibatan antarabangsa.
Katanya, kerjasama seperti ini akan mengukuhkan hubungan institusi, mewujudkan peluang berharga untuk perkongsian ilmu serta pembangunan penyelesaian praktikal terhadap isu yang penting di peringkat tempatan dan global.
“Komitmen bersama antara UPMS dan rakan-rakan dari Jepun ini juga mampu menyerlah dalam memajukan kecemerlangan penyelidikan serta memupuk kerjasama jangka panjang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa mengalu-alukan lawatan delegasi Universiti Pertanian Tokyo yang disertai Profesor Inubushi Kazuyuki, Profesor Madya Dr Mami Irie serta Tatsuya Tanaka dari Jcam Agri Co. Ltd ke Kampus UPMS pada 26 hingga 28 Februari lalu.
Tambahnya, UPMS merakamkan penghargaan kepada Inubushi, Mami dan Tatsuya atas kunjungan dan penglibatan bermakna mereka dengan harapan kerjasama antarabangsa yang penting tersebut akan terus berkembang pada masa depan.
Pada masa sama, lawatan itu juga untuk memperkukuh perbincangan berkaitan untuk memajukan pertanian mampan serta hubungan akademik antara kedua-dua universiti.
Delegasi turut mengadakan lawatan lapangan ke Sebauh termasuk melawat kebun milik petani kecil Ensurai Gundang di daerah tersebut sebagai pendedahan secara langsung kepada amalan pertanian tempatan dan realiti dihadapi oleh petani terbabit.
Ia turut memberi pemahaman lebih mendalam tentang isu berkaitan penggunaan tanah, pengurusan tanaman dan kelestarian di peringkat komuniti.
Inubushi juga menyampaikan ceramahnya yang mengupas tajuk Ladang Kelapa Sawit dan Alam Sekitar Global di UPMS pada 27 Februari lepas dengan menumpukan perbincangan mengenai Sarawak serta rantau ini secara keseluruhan memandangkan kelapa sawit kekal sebagai antara komoditi terpenting di rantau ini.
Dr Syeed berkata, topik yang dibincangkan amat tepat pada masanya dan sangat relevan berkaitan komoditi kelapa sawit yang memain peranan penting dalam pembangunan serantau.
Begitupun katanya, ia sering menjadi perdebatan antarabangsa berkaitan kelestarian dan kesan terhadap alam sekitar dan ceramah disampaikan itu selaras dengan fokus utama Institut Ekosains Borneo dalam aspek mitigasi dan adaptasi perubahan iklim.
Selain itu, beliau menghargai usaha Dr Keeren Sundara Rajoo yang memudah cara penganjuran program serta komitmen berterusan dalam memperkukuh hubungan kerjasama antara UPMS dan Universiti Pertanian Tokyo.
Ujarnya, hubungan ini telah berkembang dengan ketara sejak pemeteraian semula Memorandum Persefahaman (MoU) pada tahun 2024 yang melibatkan Naib Canselor UPM di Universiti Pertanian Tokyo.
“Sejak itu kerjasama tersebut telah berkembang kepada beberapa inisiatif bermakna termasuk projek Ke Arah Sifar Pembaziran Makanan, pembangunan aplikasi kitar semula KitarNow serta pelbagai program mobiliti akademik,” jelasnya.

Date of Input: 09/03/2026 | Updated: 09/03/2026 | lanz

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia